KUALA LUMPUR: Reformasi aspek ekonomi dan pendidikan jauh lebih utama dalam pemikiran dan kehidupan masyarakat Melayu-Muslim berbanding yang lain.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar menjelaskan, kajian mendapati reformasi urus tadbir kerajaan menjadi keutamaan seterusnya selain Parlimen, kehakiman dan lain-lain.

"Ini diperkukuhkan lagi dengan dapatan terhadap soalan reformasi yang paling perlu diberikan keutamaan pada waktu ini iaitu merangka strategi membasmi kemiskinan dan menangani kos sara hidup rakyat (31 peratus).

"Dapatan mendapati keutamaan perlu diberi kepada meningkatkan kembali ekonomi rakyat (29 peratus), memastikan janji-janji manifesto ditunaikan dan menjaga kebajikan rakyat (16 peratus).

"Selain itu, membersihkan kerajaan daripada budaya rasuah dan memulihkan indeks integriti (15 peratus), mereformasi institusi dan urus tadbir kerajaan agar berjalan mengikut lunas undang-undang (8 peratus)," katanya semasa sidang media hasil kajian Reformasi Institusi di Malaysia: Pandangan dan Sentimen Melayu-Muslim pada Jumaat.

Seramai 1,262 orang terlibat sebagai responden kajian yang dipilih secara persampelan rawak berstrata manakala 93 orang peserta yang terlibat dalam perbincangan kumpulan berfokus (FGD) melibatkan 14 kumpulan.

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi empat zon utama iaitu selatan, tengah, utara dan timur di Semenanjung Malaysia dengan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi jantina, peringkat umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan dan lokaliti yang berbeza.

Dalam pada itu jelasnya, dapatan kajian turut mendapati isu berkaitan pemansuhan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) hanya mencatatkan 56 peratus tahap kebersetujuan.

"65 peratus responden turut bersetuju pilihan raya tempatan boleh menyebabkan kuasa Melayu terhakis kepada bukan Melayu terutama di kawasan bandar dan 55 peratus bersetuju pendaftaran pengundi secara automatik kepada warganegara yang telah mencapai umur 18 tahun merupakan keputusan bijak.

"Sebanyak 57 peratus responden pula tidak bersetuju had umur mengundi yang diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun adalah langkah baik untuk menyuburkan demokrasi selain 52 peratus tidak bersetuju perdana menteri perlu dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Selain Hisomuddin, pembentangan turut dibuat Felo Penyelidik, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid dan Ketua Penyelidikan Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Dalam pada itu, Dr Hamidin menjelaskan, agenda reformasi institusi seharusnya menjadi agenda nasional dan tidak diperakui oleh sesebuah kumpulan sahaja.

Ujarnya, memenangi hati kumpulan terbesar iaitu Melayu-Muslim merupakan nadi penting bagi memastikan kejayaan untuk negara lebih maju dalam memabik pulih institusi berkenaan.

"Pada masa sama parti-parti politik seharusnya memahami apakah kemahuan masyarakat ini supaya ia lebih mudah melakukan negosiasi dalam konteks bagaimana untuk mengimplementasikan supaya saranan agenda nasional ini berjaya oleh masyarakat Melayu-Muslim.

"Parti-parti politik seharusnya mendengar dan melihat dalam konteks manakah reformasi institusi ini boleh diterima oleh masyarakat," ujarnya.