Susulan daripada pembubaran Parlimen minggu lepas, saya telah mengumum dan membentangkan Manifesto Barisan Nasional kelmarin di hadapan lebih puluhan ribu ahli dan penyokong BN di Stadium Putra Bukit Jalil. Sebelum ini, Pakatan Rakyat mendakwa manifesto bukanlah satu janji yang perlu dipatuhi. Tetapi, untuk BN, kami menganggap manifesto yang dilancarkan pada malam 6 April lalu adalah satu Aku Janji kami kepada rakyat.

Kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang sehingga hari ini jelas membuktikan kebolehan dan prestasi Barisan Nasional dalam menunaikan janji-janji kami sebelum ini. Pastinya ada ketidaksempurnaan selama ini, saya akui dan memohon maaf, namun ia menguatkan lagi keinginan kami untuk memperbaikinya demi masa depan Malaysia. Kali ini, kami usulkan 17 bidang utama sebagai janji dan komitmen kami seterusnya. Ringkasan mengenai 17 bidang janji ini boleh dibaca di laman web saya manakala teks penuh manifesto tersebut boleh dibaca di www.manifestopru13.com.

Apa yang pasti, asas kepada manifesto atau aku janji ini adalah kestabilan dan keharmonian negara yang berpanjangan. Segala kejadian, pengalaman, kesilapan, dan kejayaan yang lalu diambil iktibar dan dijadikan pedoman dalam meneruskan amanah yang akan kami junjung dan lunaskan dengan sebaiknya.

Manifesto yang saya bentangkan itu bukanlah sesuatu yang telah kami reka dalam satu hari semata-mata untuk memenangi hati pengundi dan untuk menang. Manifesto ini telah kami rangka dengan penuh teliti melalui hasil tinjauan mesra serta pelbagai usaha untuk mendapatkan maklumbalas dari rakyat. Malah, saya sendiri telah mengamalkan aktiviti turun padang untuk lebih memahami segala isu dan keutamaan rakyat daripada semua peringkat umur, pendapatan, tempat tingal, bangsa dan agama. Kerana itulah manifesto ini realistik dan komprehensif bagi memenuhi keadaan sebenar rakyat di masa kini.

Sekiranya ada yakin dengan kepimpinan saya dan Barisan Nasional, maka dengan penuh rendah diri, saya minta anda berikanlah sokongan dan undi anda kepada pasukan saya, Barisan Nasional. Sebagai sebuah pasukan, kami berjanji akan meneruskan perjuangan kami memberikan harapan kepada rakyat untuk sebuah Malaysia yang lebih maju dan makmur.