Di Goodwood Festival of Speed, England yang telah berlangsung baru-baru ini, Lotus telah memperkenalkan generasi terbaharu kereta berprestasi tinggi sekaligus model Lotus yang paling laju dan paling mahal: Lotus 3-Eleven.
Lotus masih mengekalkan rekaan berdasarkan kepada perlumbaan di litar dan konsep ‘Less is More’ pada model 3-Eleven ini. Ini dapat dilihat dengan rekaan kerangka badan yang ringan, rekaan kokpit yang terbuka dan enjin V6 dengan pengecas lampau yang ditala semula.
Terdapat dua varian yang akan ditawarkan kepada pembeli iaitu ‘Road’ dan ‘Race’. Dengan berat keseluruhan di bawah 900kg, model 3-Eleven ini mampu membuat pecutan 0-100km/j dalam masa bawah 3 saat dan mampu memecut ke kelajuan maksimum 280km/j bagi versi ‘Race’ dan 290km/j bagi versi ‘Road’.
Proses pemasangan bagi model 3-Eleven ini akan bermula pada bulan Februari 2016 dan penghantaran kepada pembeli akan bermula pada April 2016. Bilangan kereta yang akan dihasilkan hanya terhad kepada 311 buah kereta sahaja. Harga bagi model ini bermula daripada £82,000 (termasuk cukai VAT) bagi versi ‘Road’ dan £115,200 (termasuk cukai VAT) bagi versi ‘Race’.
Spesifikasi
Model 3-Eleven terbaharu ini menggunakan enjin V6 dengan pengecas lampau yang sebelum ini juga dipasang di dalam model Evora 400. Talaan semula yang dibuat memberikan output yang lebih tinggi – 450hp pada 7,000rpm dan tork sebanyak 450Nm diantara 3,500rpm hingga 6,500rpm.
Output ini disambungkan kepada kotak gear manual 6 kelajuan close-ratio dengan limited slip differential jenis Torsen, sistem klac berprestasi tinggi dan sistem penyejuk jenis minyak, didatangkan standard pada versi ‘Road’. Bagi versi ‘Race’ pula, ianya didatangkan dengan kotak gear 6 kelajuan sequential , penyejuk jenis minyak, limited slip differential, dan paddle shift.
Prestasi daripada 3-Eleven ini mampu untuk mencatatkan rekod masa terpantas baharu di litar Hethel bagi kereta pengeluaran biasa dengan bacaan jam 1 minit 22 saat.
Selain daripada kuasa enjin itu sendiri, aerodinamik jentera ini dikatakan mampu memberi daya tekan sebanyak 215kg pada 240km/j (versi ‘Race’).
Sistem brek diterajui angkup AP Racing empat omboh dan cakera brek 332mm (hadapan dan belakang). Versi ‘Race’ turut mendapat pelapik brek yang ditingkatkan. Tayar hadapan berukuran 225/40 18 inci manakala belakang pula adalah 275/35 19 inci.
Rekaan Dalaman:
Rekaan dalaman model ini memperlihatkan aeroscreen didatangkan secara standad manakala tempat duduk penumpang didatangkan secara pilihan. Tempat duduk penumpang ini boleh dikeluarkan jika ianya tidak digunakan. Jika ianya dikeluarkan, satu panel pelapik boleh diletakkan bagi menutup bahagian penumpang ini dan bagi memperbaiki kualiti aero kereta.
Panel instrumen diletakkan disekeliling skrin warna TFT yang mana ianya memberi maklumat secara terus kepada pemandu dan jenis pemanduan boleh ditukar diantara ‘road’ dan ‘track’ pada bila-bila masa.