KUALA LUMPUR : Dengan sempurnanya pemasangan puncak menara hari ini, Merdeka 118 rasmi sebagai bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, juga menara tertinggi di Malaysia serta Asia Tenggara.

Lebih membanggakan lagi apabila ia disempurnakan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.

“Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.

“Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Pemodelan Nasional Berhad!,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 di ibu negara pada Selasa.

Menara Merdeka 118 | PM bangga dapat disempurnakan ketika pandemik


Untuk rekod, jelas Ismail Sabri, inspirasi menamakan bangunan ini sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina kawasan bersejarah iaitu di antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.

Reka bentuk menara yang tersergam teguh ini sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan "Merdeka", 64 tahun yang lalu.

Malah, katanya, pembinaan ini merupakan cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

“Hal ini dapat dilihat melalui usaha yang diambil oleh PNB untuk memelihara khazanah negara kita iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara melalui kerja pemuliharaan yang telah giat dijalankan.

“Usaha ini adalah selaras dengan visi kerajaan untuk membangunkan Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City dan Jabatan Warisan Negara.

“Pelan Induk Strategik KLCCD ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem berpusatkan kreativiti dan budaya yang mampu merangsang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Malaysia,” katanya.