MEMILIKI anak yang bergelar hafiz Al-Quran sudah pasti menjadi dambaan ramai ibu bapa di luar sana.

Namun, hakikatnya bukan semua ibu bapa dianugerahkan Allah dengan nikmat yang sangat indah sedemikian.

Justeru, beruntunglah pasangan suami isteri yang dikurniakan dengan anak-anak soleh solehah yang mampu menghafal 30 juzuk Al-Quran di bibir dan hati mereka.

Antara yang diberi kurniaan menghafal kita suci itu ialah si cilik Muhammad Andra Al-Iman Mohd Zebby.

Berusia 13 tahun, Muhammad Andra merupakan seorang tahfiz yang dilahirkan oleh institusi tahfiz As-Sofa.

Pada usia sembilan tahun, Muhammad Andra sudah pun bergelar hafiz Quran sekali gus menjadi hafiz termuda di As Sofa.

Menurut ibunya, Siti Fatimah Nadiyasita dan bapa Mohd Zebby Mohd Bahrin, keputusan menghantar satu-satunya permata hati mereka menghafal Al-Quran di As Sofa membuahkan hasil yang menakjubkan.

"As Sofa merupakan sebuah institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipercayai. Disebabkan itulah kami tidak bimbang untuk menghantar Muhammad Andra belajar di sekolah tersebut.

"Apa yang kami lihat, para pelajar bukan sekadar belajar bahkan turut ditekankan mengenai adab dan khidmat terhadap ilmu, guru, ibu bapa, kitab-kitab dan majlis pengajian.

"Malah, di sana juga adanya murabbi, bukan hanya pada jasad tetapi juga pada ruh iaitu dalam membimbing kita mengenal cinta Allah dan Rasul," jelasnya.

Suasana pengajian ilmu di dalam maktabah (perpustakaan) yang terdapat di As Sofa.
Sementara itu, bapa Muhammad Andra mengakui, bukan mudah untuk melahirkan seorang anak yang bergelar hafiz Quran, namun beliau percaya bahawa niat yang baik sudah tentu akan Allah permudahkan.

"Umum sedia maklum, pengajian di sekolah-sekolah tahfiz swasta mempunyai kos yang tersendiri. Jadi sebagai ketua keluarga, saya perlu bersedia untuk berkorban dalam aspek kewangan dalam memastikan anak menerima pendidikan terbaik dan diyakini.

"Alhamdulillah, bersama As Sofa para pelajar sangat bertuah kerana mereka sebagai ahli ilmu sangat diraikan oleh pihak pentadbiran dengan menyediakan pelbagai prasarana yang selesa dan memberi kemudahan buat mereka dalam menuntut ilmu," kata Mohd Zebby.

Muhammad Andra kini merupakan pelajar Tahap 2 di Maahad Tahfiz & Turath As Sofa (MATTAS) yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan.

Kejayaan anak ini sentiasa dijadikan contoh buat pelajar yang lain dalam usaha bergelar hafiz dan hafizah Quran yang beramal dengan ilmunya.

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Ustaz Mohd. Hanif Abd. Hamid memberitahu, pihaknya sentiasa mengutamakan keselesaan para pelajar dalam menuntut ilmu.

"Istimewanya anak-anak yang belajar di As Sofa ini ialah layanan yang diberikan kepada mereka sesuai dengan status sebagai penghafal Al-Quran.

"Kita angkat martabat anak-anak ini kerana ilmu yang mereka pelajari.

"Oleh itu, kita menyediakan tempat terbaik dan eksklusif untuk mereka dari segi suasana pembelajaran dan kehidupan mereka di asrama.

"Mereka hidup dengan selesa, belajar dalam suasana tenang dan persekitaran yang menarik," ujar beliau.

Tambah Mohd Hanif sempena kedatangan bulan Rabi'ulawal 1443H ini, pihaknya telah melancarkan kempen Mencari 50,000 Pencinta Rasulullah untuk berinfaq dalam membangunkan sebuah lagi mercu tanda terbaharu As Sofa.

"Kempen ini mahu mengajak rakyat Malaysia bersama-sama Yayasan Sofa dalam menyokong usaha kami melahirkan pewaris Nabi SAW dengan cara berinfaq RM100 seorang sekali gus meneruskan dakwah baginda.

"Infaq daripada 50,000 komuniti pencinta Rasulullah SAW  ini akan disalurkan kepada pembinaan Kompleks Islam As Sofa Mantau di Seremban, Negeri Sembilan yang bakal menempatkan kira-kira 3,000 pelajar aliran tahfiz dan turath.

"Insya-Allah, kompleks ini akan menjadi satu institusi terbesar yang diusahakan Yayasan Sofa dan ia terletak di atas tanah berkeluasan 2.7 hektar dengan kos pembangunan kira-kira RM55 juta," ujarnya.

Melalui pembinaan kompleks ini, ia akan menempatkan kampus tetap Kolej Islam As Sofa yang sebelum ini beroperasi di Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut, boleh layari laman web www.yayasansofa.com.my atau Facebook Yayasan Sofa Negeri Sembilan.