KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, banyak negara yang telah mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mengakui usaha memartabatkan dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu bukan kerja mudah kerana terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh pejuang-pejuang bahasa.
 

“Seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam seharusnya memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan.    

“Usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan dan ini adalah antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negara Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.

“Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak negara merdeka pada 1957 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai Perkara 152 (1).

"Oleh itu, langkah memartabatkan Bahasa Melayu adalah juga usaha menjunjung tinggi Perlembagaan Negara,” katanya, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Simposium tersebut merupakan cetusan idea dan gagasan Perdana Menteri, yang bertujuan memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN.      

Justeru, beliau berkata bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan penggunaan bahasa berkenaan.

Selain itu Perdana Menteri menambah, usaha sewajarnya perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi.

“Peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan.
 
“Kerajaan sedar pentingnya penglibatan golongan cendekiawan dalam merancang dan melaksanakan gagasan pemimpin dan dasar negara selain pandangan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut bersetuju agar Simposium Pengantarabangsaan bahasa Melayu dijadikan sebagai acara tahunan.