Apabila bahang pilihan raya umum (PRU) semakin dirasai, pelbagai isu mula dibangkitkan untuk menarik perhatian dan sokongan rakyat.

Pakatan pembangkang dilihat terlalu lancang bermain dengan isu-isu sensitif termasuk soal bangsa, agama, keturunan dan sosial kerana mereka kemaruk untuk berkuasa.

Seperti beberapa PRU sebelum ini, gendang untuk menawan Putrajaya dimainkan dengan dentuman fitnah, provokasi dan persepsi liar.

Blok pembangkang kelihatan seronok bermain dengan serangan fitnah untuk memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO.

Mereka menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai sasaran utama fitnah dan provokasi.

Malah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menjadi mangsa buli politik pihak pembangkang.

Mengheretkan isteri Perdana Menteri menunjukkan blok pembangkang sudah tidak ada modal politik untuk meyakinkan rakyat.

Sebaliknya rakyat mula bersimpati dengan nasib Rosmah yang saban hari menjadi mangsa cacian dan cercaan jahat pembangkang.

Pembangkang terlalu ghairah membongkar hal-hal peribadi dengan niat jahat biarpun perbuatan keji sedemikian amat memualkan.

Kader-kader politik pembangkang dan 'askar siber upahan' mereka seperti sudah tidak ada kerja bermoral selain mendedahkan hal-hal peribadi pemimpin UMNO.

Perbuatan seperti itu amat ditegah oleh ajaran Islam. Atas sebab itu isu perbadi tidak termasuk dalam agenda perjuangan UMNO dan BN amnya.

Sebenarnya bukan susah sangat; londehkan dengan serangan fitnah menerusi media sosial sepertimana mereka (pembangkang) lakukan selama ini.

Pemimpin UMNO boleh lakukan untuk 'londehkan' keaiban pemimpin pembangkang termasuk dalam kalangan pemimpin wanita mereka.

Kain politik Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail juga boleh dilondehkan, tetapi pemimpin UMNO tidak tergamak berbuat demikian kerana beliau juga beragama Islam!

Pemimpin UMNO masih mempunyai ketinggian moral dan pekerti politiknya. Mereka tidak bersarang dengan fitnah untuk sengaja melondehkan kain pemimpin pembangkang.

Pemimpin UMNO bukan seperti pembangkang. Pemimpin UMNO tidak hidup dengan mencipta dan menyebarkan fitnah dan tohmohan membabi buta.

Serangan fitnah pada alaf ini begitu mudah dan berjalan lancar kerana disokong kecanggihan alam siber.

Itulah yang dimanfaatkan pembangkang yang membudayakan politik fitnah dan adu domba.

Di hujung jari, fitnah dan pembulian politik dilakukan pembangkang menerusi aplikasi media baru untuk mencemar reputasi pentadbiran Najib, BN dan UMNO itu sendiri.

Peperangan alam siber seolah-olah sudah tidak dapat dikawal lagi dan menjadi sebahagian daripada sumber informasi rakyat.

Sama ada sumber alam siber itu fitnah, bohong atau auta bukan lagi menjadi satu penilaian wajib, masyarakat menerimanya tanpa banyak soal.

Inilah petaka teknologi maklumat yang disaringkan pembangkang dengan hujah dangkal selain berserabut bahan fitnah, adu domba dan propaganda murahan.

Blok pembangkang sudah sebati dengan pencacian dan bahan fitnah, bukannya memberikan buah fikiran berguna untuk membentuk budaya bangsa dan negara yang membangun.

Mereka terlalu gila berpolitik untuk berkuasa sehingga melanggari batas perpaduan kaum di negara ini.

Oleh sebab itu, isu kaum, agama, budaya termasuk pendidikan dijadikan percikan bunga api untuk menggelisahkan hidup rakyat.

Pembangkang mahu rakyat menjadi 'panas' dan gelisah kerana cara sedemikan pada anggapan mereka akan menyebabkan UMNO tersungkur.

Bagaimanapun, pembangkang juga amat sedar dan sememangnya tahu bahawa UMNO menjadi halangan terbesar kepada cita-cita mereka.

Selagi UMNO menjadi benteng pemerintahan negara ini, pembangkang tahu mereka tidak akan berjaya menguasai Putrajaya.

Fitnah di hujung jari pembangkang

Kerana itu, isu ras, etnik dan agama dijadikan acuan pembakar dengan harapan, rakyat akan memihak kepada mereka.

Isu Melayu daripada perbezaan suku mula dibangkitkan di pentas politik supaya keadaan menjadi lebih berkecamuk dengan bukan Melayu terutama DAP bagaikan menunggu untuk 'menangguk di air yang keruh'.

Mengapa persoalan Melayu Bugis, Melayu Jawa, Melayu Arab, Melayu Siam dan sebagainya mula dibangkitkan dengan penuh sentimen sejak mutakhir ini?

Apakah selama ini soal suku keturunan Melayu seperti itu telah gagal membentuk sebuah negara Malaysia merdeka seperti yang ada hari ini.

Suara-suara sumbang seperti itu sengaja dilaungkan untuk mendidihkan semangat kemelayuan sedia ada dan berkemungkinan ada 'dalang' yang bermain di belakang tabir?

Ingin dijelaskan, sejarah menyebut bahawa orang Melayu adalah satu daripada bangsa dalam rumpun yang sangat luas yang dikenali Melayu-Polinesia.

Antara suku-suku bangsa dalam rumpun itu ada suku Melayu, Jawa, Bugis, Sunda, Moori, Hawai, Fiji dan sebagainya.

Kepulauan Melayu pula sangat luas dan terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Indo-Malaya, Kepulauan Timur, Kepulauan Maluku dan Kepulauan Papua.

Malah ada catatan sejarah menyebut Kerajaan Srivijaya merupakan empayar Melayu pertama yang didirikan oleh bangsa Melayu di Nusantara kemudian diikuti dengan kerajaan Langkasuka, Gangga Negara dan Kerajaan Melayu Melaka.

Jadi, mengapa soal Melayu dan keturunan suku atau kaum itu mula dijadikan bahan politik untuk menagih undi menjelang PRU ke-14.

Sesuatu yang amat menyedihkan apabila pemimpin politik mula menghina biarpun secara sinis terhadap sesuatu kaum keturunan Melayu di negara ini.

Percaturan itu silap, kerana rakyat Malaysia terutama etnik Melayu menolak kaedah berpolitik seperti itu.

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta budaya tidak akan memperjudikan masa depan mereka hanya untuk memenuhi impian pembangkang.

Hari ini, pentadbiran Najib, selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO telah berjaya melepasi halangan sukar dengan melakukan pelbagai transformasi pembangunan jangka panjang.

Transformasi itu dilakukan bukan untuk faedah 10 atau 15 tahun, tetapi untuk generasi akan datang.

Najib mahu rakyat Malaysia 50 tahun akan datang berada dalam sebuah negara maju, setanding negara-negara Asia dan Barat yang lain. Ini bukan sesuatu yang mustahil.




*Datuk Seri Syed Ali Alhabshee merupakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan Ketua UMNO Bahagian Cheras

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.