IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau kehilangan seorang insan yang telah dianggap seperti abang kandungnya sendiri.

Malah, kata Ahli Parlimen Tambun itu, beliau juga rapat dengan keluarga Allahyarham kerana mereka sama-sama tinggal di Kampung Sungai Rokam, Ipoh.

"Saya membesar di Kampung Sungai Rokam bersama dengan Allahyarham... amat rapat dengan keluarga Allahyarham termasuk isterinya.

"Kehilangan ini bukan sahaja kehilangan yang besar buat negara dan bidang seni perfileman tetapi kepada saya secara peribadi kehilangan yang amat besar," luahnya.

Beliau ditemui selepas melepaskan peserta program berbasikal sempena Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Peringkat Parlimen Tambun bagi merebut Peja Trophy 2021 di Kampung Manjoi, Ipoh, pada Ahad.

Beliau memohon semua pihak bersama-sama mendoakan agar Allahyarham diampunkan segala dosa dan dihimpunkan bersama-sana orang yang beriman serta beramal soleh.

Allahyarham Mamat Khalid atau atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, meninggal dunia akibat serangan jantung, di dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 malam tadi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Mengenang Mamat Khalid