REMBAU: Seorang pekerja buruh binaan mendakwa ternampak harimau belang melintas jalan di Kampung Batu Putih berhampiran Sekolah Kebangsaan Chengkau di sini pada Isnin.

Mohamad Zamri Mokhtar, 41, berkata, dia melihat kelibat haiwan berkenaan kira-kira jam 7.10 pagi selepas menghantar anaknya ke sekolah dengan menunggang motosikal.

"Harimau itu melintas jalan di hadapan kedai Edden Salai dan berada lebih kurang dua atau tiga meter dari saya.

"Saya bernasib baik kerana sempat berhenti dan harimau itu tak menoleh ke arah saya. Jika tidak, sudah tentu saya diterkamnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dia berkata, dia yakin tidak bermimpi dan kejadian itu membuatkannya menggigil.

Sehubungan itu katanya, dia telah membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan penduduk.

Suzaidi - Sinar Harian

Sementara itu pengawal keselamatan SK Chengkau, Suzaidi Mazli, 38, berkata, susulan cerita penemuan haiwan berkenaan pihak sekolah telah memaklumkan kepada murid-murid pada perhimpunan pagi supaya tidak berada di luar kawasan sekolah.

"Saya baharu dua tahun kerja di sini dan tak pernah lagi dengar cerita pak belang ini.

"Ada juga timbul cerita nampak sampai empat ekor. Walaupun tak pasti cerita sebenar, tapi risaulah kerana sini budak-budak balik sekolah," katanya.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lada Chengkau, Abdul Latip Alias berkata, cerita berkenaan kehadiran haiwan tersebut sudah timbul sejak zaman nenek moyangnya lagi.

Bagaimanapun katanya, setelah sekian lama ia timbul semula dan semestinya menggusarkan penduduk setempat.

"Saya meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat melakukan siasatan mengenai perkara itu.

"Saya tidak menolak kemungkinan betul kehadiran pak belang di kawasan itu kerana ia berhampiran terdapat dengan hutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan kejadian berkenaan.

"Pihak polis dan Perhilitan sedang mengesan haiwan berkenaan. Penduduk diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak duduk di luar rumah dalam tempoh lama," katanya. -- Sinar Harian