KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan pelan tindakan yang lebih komprehensif sebagai persediaan menjadi negara tua menjelang 2030, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau memberitahu, persediaan itu bukan sahaja melibatkan perkhidmatan kesihatan sebaliknya turut merangkumi isu perumahan, pengangkutan, simpanan, kesejahteraan ekonomi dan sara hidup kumpulan warga emas.

"Kalau melihat pada persediaan, setakat ini pelan tindakan sedia ada masih lagi tidak terlalu menyeluruh dan tidak melibatkan semua agensi kerajaan.

"Pelan tindakan yang baharu perlu ada iltizam untuk dibuat pelaburan sebagai persediaan untuk melahirkan pakar-pekar yang diperlukan untuk menjaga kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan warga tua.

"Ia adalah sesuatu yang penting untuk mana-mana pihak yang akan tubuh kerajaan nanti supaya dapat menetapkan perkara atau isu masyarakat menua ini sebagai satu keutamaan dalam manifesto," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2022 di Hospital Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kekurangan tenaga pakar dalam bidang geriatrik, Khairy memberitahu, kerajaan perlu melihat pada laluan kerjaya termasuk perjawatan di peringkat tinggi yang banyak supaya doktor yang berminat dalam subkepakaran melihat peluang ke gred yang lebih tinggi.

"Kalau tak mungkin mereka (doktor) rasa subkepakaran dalam bidang lain mempunyai laluan kerjaya yang lebih cerah," ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy turut mengumumkan KKM meluluskan pemberian katil berteknologi tinggi berserta ripple mattress dengan jumlah keseluruhan bernilai RM450,000 kepada Unit Geriatric HKL bagi memastikan penjagaan kesihatan dan rawatan berkualiti kepada pesakit warga emas.

Selain itu, dua unit potrable ultrasound (bladder scan) baharu dan seunit portable video rhino larnygoscope bernilai RM100,000 juga akan ditempatkan di unit berkenaan secara berperingkat pada hujung tahun ini.