KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengarahkan semua syarikat penerbangan menurunkan harga tiket penerbangan domestik dengan segera, tanpa perlu campur tangan kerajaan Persekutuan.

Ia susulan kekecewaan orang ramai terhadap harga tambang penerbangan yang luar biasa ke Sarawak yang tinggi sehingga mencetuskan keresahan menjelang musim cuti.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, ia adalah berdasarkan keputusan Kabinet semalam, di mana Kementerian Pengangkutan telah memanggil syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo untuk bermesyuarat dengan menekankan keperluan untuk mengurangkan tambang penerbangan bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat menikmati tambang penerbangan yang lebih rendah bagi tempoh akhir tahun ini.

"Sejurus pertemuan itu Malaysia Airlines telah berjanji untuk menambah penerbangan tambahan ke Sarawak pada bulan Disember, sekali gus berupaya mengurangkan kadar tambang ke negeri tersebut.

"Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga bersedia untuk meluluskan lebih banyak lagi kekerapan penerbangan," katanya dalam perkongsian di Facebooknya, di sini, pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Ka Siong turut menggesa semua pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tambang bagi menampung kerugian yang dialami sebelum ini

"Ini persepsi orang ramai yang perlu ditangani oleh syarikat penerbangan. Saya juga menggesa semua pihak supaya mengambil tindakan segera menurunkan harga tambang penerbangan bagi pengembara tanpa perlu Kerajaan Persekutuan dan agensinya campur tangan secara berlebihan dalam pengoperasian tersebut," katanya lagi. 

Mengulas mengenai pertambahan kekerapan penerbangan ke Sarawak, Ka Siong berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Sarawak memutuskan untuk meningkatkan kekerapan daripada 223 kepada 307 penerbangan seminggu ke negeri itu.

Katanya, pengoperasian itu membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia, Malindo dan Scoot (Singapura) bermula 4 Disember hingga 5 Januari tahun depan.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan negeri akan segera mengembalikan jumlah kekerapan berkenaan kepada 502, sama seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

"Kerajaan memandang serius perkara ini dan telah mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh bagi menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada orang ramai daripada pengembara hinggalah kepada ahli keluarga yang mereka rindui untuk bertemu semula setelah sekian lama berpisah akibat pandemik COVID-19.

"MOT terbabit secara aktif dengan pemain industri dan kerajaan negeri termasuk Sarawak untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke semua destinasi termasuk mengambil kira usaha berterusan dalam membendung penularan COVID-19 di seluruh negara," katanya.

Selain itu, Ka Siong berkata kementeriannya mengutuskan surat kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin pada 18 November lalu untuk meminta kerajaan negeri mengembalikan keputusan mengawal selia frekuensi perkhidmatan.