KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengingatkan mana-mana pemimpin menolak gejala rasuah bagi memastikan kemajuan negara dapat dicapai.

Beliau yang berucap di majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor menegaskan politik bukan medan untuk menjadi kaya.

“Kalau mahu rakyat sokong pemimpin, jelas saya ingatkan di sini, mana-mana pemimpin mesti tolak rasuah atau salah guna kuasa.

“Mahu kaya, masuk berniaga. Jadi 'businessman'. Yang mahu jadi menteri dan mahu cari wang untuk jadi kaya, kena keluar bukan lagi jadi menteri dan tumpu kepada perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, prinsip menolak rasuah dalam kalangan pemimpin adalah jelas bahawa sekiranya pemimpin yang sertai parti politik untuk menjadi kaya bakal merosakkan negara.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru supaya masyarakat memantapkan semangat perpaduan, kurangkan pergelutan soal kaum dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara.