KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis, Tengku Zafrul bagaimanapun, berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

“Permohonan telah dibuat, perbincangan pun diadakan, sekarang kita menunggu keputusan jemaah menteri untuk dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap isu berkenaan yang dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad (PH - Langkawi).

BACA: 'Hadiah' rumah, tanah bernilai RM100 juta kepada Najib Razak 'panaskan' Dewan Rakyat

Tengku Zafrul pada awal jawapan menyatakan mencadangkan supaya soalan itu dipanjangkan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali diminta menjawab persoalan tersebut terutamanya daripada Ahli Parlimen blok pembangkang, beliau kemudian mengesahkan permohonan telah diterima.

“Saya kata permohonan ini, seperti saya sebut tadi, ia tiada dalam Bajet kerana ia dibentangkan sebelum permohonan tersebut.

“Untuk laksanakan ini, ia akan dibawa sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Parlimen nanti,” ujarnya.

Jawapan itu nyata menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen dengan Datuk Mahfuz Omar (PH - Pokok Sena) dan RSN Rayer (PH - Jelutong) antara yang paling lantang menyuarakan bantahan.

Sesi penggulungan tersebut berterusan panas apabila Ahli Parlimen berulang kali membangkitkan perkara sama sehingga membuatkan Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun beberapa kali mengarahkan mereka untuk duduk.