KUALA LUMPUR: Menteri Luar China, Wang Yi akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan, kali terakhir Yi yang juga Penasihat Negara berkenaan mengadakan lawatan rasmi ke negara ini adalah pada dua tahun lalu.

Semasa lawatan tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai bidang kerjasama.

Kedua-dua Menteri Luar itu akan turut menyentuh isu dua hala meliputi perdagangan dan pelaburan; teknologi tinggi; ekonomi digital; pengajian tinggi; kerjasama vaksin COVID-19; serta pemulihan selepas pandemik.

Dalam masa yang sama, Saifuddin dan Yi akan berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

"Hubungan Malaysia dan China terus diperkukuh dan diharmonikan sejak peningkatan jalinan hubungan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013.

"Kedua-dua Negara akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian tersebut pada tahun depan," demikian menurut kenyataan itu, hari ini.

Wisma Putra menambah, Yi turut akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Selain itu, Menteri Luar itu dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sejak 2009, China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM421.07 bilion (AS$101.55 bilion), peningkatan 27 peratus daripada tahun 2020.