ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan kajian menyeluruh dalam masa terdekat bagi mengkaji insentif kepada peniaga yang terlibat dalam pelaksanaan Menu Rahmah yang diperkenalkan sejak Februari lalu.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, kajian terbabit dicadang untuk dijalankan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Menurut beliau, tempoh empat hingga enam bulan pascapelaksanaan program terbabit adalah masa yang tepat untuk kerajaan membuat kajian dan penambahbaikan.

"Kita akan dapatkan fakta yang meliputi lokasi dan bentuk menu yang ditawarkan peniaga, selain itu ia akan turut melibatkan proses menemu duga peniaga mengenai bentuk bantuan yang mereka perlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Semarak Niaga SSM dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Koporat berjumlah RM100,000 kepada 500 penerima asnaf di Alor Setar pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah SSM Kedah Ismanani Khazali.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, Menu Rahmah mendapat tarikan pelanggan dan mampu menjana keuntungan untuk peniaga.

Malah jelasnya, hasil temu bual seramai 1,148 peniaga bazar Ramadan, mereka menyifatkan terdapat peningkatan hasil jualan menerusi pengenalan Menu Rahmah.

"Jadi ini antara fakta yang kita sedang teliti dengan penuh bertanggungjawab. Kita faham ini adalah isu melibatkan keperluan peniaga dan rakyat.

"Sebanyak 70 peratus peniaga memaklumkan mendapat keuntungan manakala selebihnya itu mereka kata ada keuntungan tetapi tidak pada kadar yang mereka jangka," katanya.