TELUK INTAN: Seorang peniaga kerugian RM5,000 selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai kenalan untuk meminjam wang melalui aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 41 tahun itu menerima mesej daripada rakannya, Selasa lalu yang ingin meminjam wang dengan alasan mengalami masalah kewangan.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek telah menggodam akaun Telegram rakan mangsa dengan menghantar pesanan untuk meminjam wang.

"Mangsa tanpa membuat semakan dengan kawannya yang sebenar telah bersetuju untuk meminjamkan wang tersebut.

"Mangsa membuat pindahan wang melalui empat transaksi perbankan internet dari akaun bank miliknya ke akaun bank yang disyaki keldai akaun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Ahmad Adnan berkata, mangsa menyedari ditipu selepas menghubungi rakannya yang sebenar.

"Ia terbongkar selepas mangsa hubungi kawannya itu dan dia menafikan ada meminjam wang berkenaan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan mesej yang diterima terutama daripada kenalan yang meminta wang atas alasan kecemasan.

"Mereka sepatutnya telefon dahulu kenalan tersebut untuk pengesahan sebelum memberikan wang bagi mengelakkan diperdaya oleh sindiket penipuan," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.