Mercy Malaysia memperuntukkan RM1 juta untuk bersiap sedia menghadapi banjir khususnya di negeri-negeri pantai timur.

Presidennya Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata Mercy Malaysia dapat melaksanakan program bantuan kemanusiaan itu dengan peruntukan daripada Khazanah Nasional Berhad.

Sumbangan itu akan digunakan untuk menambah dan mengganti peralatan serta ubat-ubatan yang ada, membantu komuniti dan sekolah terjejas akibat banjir selain membuat persediaan menghadapi gelombang kedua, katanya pada sidang media sebelum majlis Makan Malam Amal Tahunan 2014 sempena ulang tahun ke-15 Mercy Malaysia di sini, pada Jumaat.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang juga penaung Mercy Malaysia, dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis makan malam itu.

Dr Ahmad Faizal berkata selain mengumpul dana, majlis itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melibatkan diri dalam misi kesukarelawanan.

Mercy Malaysia menyasarkan majlis itu untuk mengumpul RM300,000.

Mengulas mengenai bantuan di Syria, Dr Ahmad Faizal berkata Mercy Malaysia akan memulakan misi bantuan musim sejuk di negara itu pada 1 Dis depan.

"Keadaan di kem pelarian dan rumah penduduk seperti di bandar Aleppo (di Syria) kekurangan bekalan minyak dan gas untuk tujuan pemanasan.

"Mercy Malaysia menyalurkan bantuan di Syria sejak dua tahun lepas namun, dengan keadaan yang semakin tegang tahun ini, operasi kami hanya terhad di sempadan," katanya.

Menurutnya bantuan itu diberikan di klinik kem-kem pelarian di sempadan Syria-Turki.