KUALA LUMPUR: Biarpun bukan sebuah entiti yang besar, namun MERCY Malaysia di United Kingdom (MMUK) membuktikan ia bukan halangan untuk menyempurnakan setiap misi bantuan.

Tidak hanya mensasarkan warga Malaysia di UK, MERCY Malaysia memfokuskan pada misi kemanusiaan yang merentas bangsa, agama dan warna kulit.

Bagi Pengerusi MMUK, Haliza Hashim-Doyle, beliau mendapat kepuasan apabila setiap bentuk bantuan yang dihulurkan memberi impak dan manfaat kepada komuniti, biarpun mungkin pada skala yang kecil.

Antaranya, bantuan sumbangan PPE kepada petugas barisan hadapan semasa awal pandemik, biarpun dalam jumlah yang terhad namun ia sedikit sebanyak mampu menampung keperluan terutama dalam waktu yang mendesak.

Bantuan PPE diagihkan kepada hospital dan rumah jagaan.- Foto Haliza Hashim/MERCY Malaysia

"Di peringkat awal pandemik, UK mengalami masalah kekurangan PPE jadi kami bantu bawa masuk sejumlah PPE dari Malaysia dan China. Malah kami juga dapat bantuan daripada syarikat korporat malah ada juga kerjasama dengan pereka fesyen tempatan seperti Jovian Mandagie dan Mimpi Kita yang jahit dan sumbangkan PPE.

"Jumlahnya memang tidak banyak, tidaklah sampai berjuta-juta tetapi ia membantu khususnya menampung keperluan urgent di hospital dan rumah-rumah jagaan," katanya kepada Astro AWANI.

Dengan situasi pandemik yang menekan, MMUK menjalankan inisiatif membantu warga Malaysia, khususnya pelajar yang mengalami tekanan.

"Di UK ada kira-kira 10,000 pelajar Malaysia. Kita tahu masalah mental ini bukan baharu dan pelajar khususnya terdedah dengan pelbagai tekanan, kewangan, tekanan belajar, proses adaptasi terpaksa berjauhan dengan keluarga dan macam-macam lagi.

"Ada pelajar yang tiba di UK pada tahun lalu, mereka masih belum pernah bersemuka dengan pensyarah atau rakan-rakan kerana pembelajaran dijalankan secara dalam talian, jadi ini membawa tekanan kepada mereka.

"Melalui Talian Kasih MERCY, kami cuba mendengar apa sahaja masalah mereka. Sukarelawan kita semua adalah individu terlatih dan mereka juga orang Malaysia, jadi tak ada masalah untuk memahami budaya, bahasa dan agama,"ujarnya.

Bantuan PPE diagihkan kepada hospital dan rumah jagaan.- Foto Haliza Hashim/MERCY Malaysia

Paling menarik, kata Haliza, adalah pengalaman menjadi sukarelawan dan penterjemah di pusat pemberian vaksin sementara yang dikhaskan untuk warga asing atau imigran tanpa dokumen sah.

"Sesetengah mereka ini, isunya bukan sahaja takut ditahan kerana tiada dokumen, tetapi mereka juga banyak mendengar pelbagai dakyah anti vaksin. Tetapi menerusi kempen, kita berjaya yakinkan mereka untuk datang ambil vaksin.

"Seronok berbual dengan mereka. Ramai warga Indonesia, mereka lebih selesa apabila kita bercakap dalam bahasa Melayu. Kami sukarelawan sudah diberi taklimat, bagaimana nak terangkan kepada mereka tentang vaksin yang mereka akan ambil, serta kesan sampingan selepas itu. Kita juga bantu mereka untuk mengisi borang-borang yang diperlukan," katanya yang sudah menetap di UK sejak 1993.

Akan datang, MMUK sudah mempunyai pelbagai perancangan pasca pandemik, namun untuk masa terdekat, mereka akan memfokuskan kepada bantuan bagi pelarian Afghanistan.

"UK akan menerima kira-kira 20,000 pelarian Afghanistan. Bukan kami sahaja, banyak lagi NGO lain juga turut berdaftar untuk membantu.

"MMUK tidak hanya akan fokus kepada bantuan kewangan tetapi juga dari segi keperluan seperti tudung untuk wanita, kelengkapan solat seperti telekung dan sejadah, serta barang-barang keperluan seperti lampin pakai buang bayi.

"Kami juga akan terus menghulurkan bantuan untuk komuniti UK. Selepas pandemik, keadaan ekonomi tidak begitu baik, ramai hilang pekerjaan malah bilangan gelandangan juga semakin bertambah.

"Kita akan aturkan dan laksanakan, mengikut situasi dan keperluan semasa," tambahnya.

MMUK bermula pada 2014 dengan misi memberikan bantuan perubatan, kesihatan dan kemanusiaan kepada komuniti dalam krisis dan memerlukan.

Tahun lalu, MMUK menerima anugerah khas Charity Commendation for the Golden Hearts COVID-19 atas kerja sukarela dalam memberi bantuan semasa wabak COVID-19.