KUALA LUMPUR: Cadangan agar kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus dibangkitkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Kuantan dari Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor berkata, pencarum memerlukan wang untuk kegunaan ketika ini bagi perbelanjaan sesi persekolahan berbanding penyaluran RM500 ke dalam Akaun 1.

"Mengenai pengeluaran KWSP, rakyat menghargai RM500 yang diperuntukkan untuk mereka. Namun, untuk makluman sebenarnya mereka nak guna sekarang... bayar yuran persekolahan anak, nak beli buku pelajaran.

"Kita telah dengar banyak pengiraan dibuat oleh Ahli Parlimen tentang bagaimana simpanan mereka akan meningkat semula nanti. Mereka hanya nak keluarkan duit mereka sahaja.

"Saya harap pihak kerajaan mencari jalan untuk meluluskan pengeluaran bersasar kepada mereka yang layak," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Membangkitkan cadangan sama, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berkata kerajaan disaran membenarkan pengeluaran KWSP secara 'case-by-case' (mengikut kes), khususnya kepada pencarum yang benar-benar memerlukan.

"Kerajaan boleh menetapkan apa sahaja syarat kepada individu yang layak ini boleh mengeluarkan (KWSP) memandangkan kerajaan mempunyai maklumat mengenai individu yang mencarum.

"Kita akui KWSP adalah simpanan hari tua, namun Kuala Pilah khuatir mereka tidak sempat tua untuk nikmati simpanan ini," ujarnya.

Pada 24 Februari lalu, kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif dalam Belanjawan 2023 itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membantu mereka membina semula simpanan persaraan yang berkurangan susulan pengeluaran ketika pandemik COVID-19.