Tuhan tidak pernah menyuruh sesiapa untuk menaikkan atau menurunkan harga, namun mereka yang tidak percaya Tuhan sahaja yang selalu naikkan harga, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kepong, Tan Sen Giaw yang mahu tahu sama ada kenaikan harga adalah 'di tangan Tuhan'.

"Biasanya bagi yang percaya pada Tuhan, dia akan ikut amalan-amalan yang beretika dan tidak akan menaikkan harga," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Jelasnya, beliau mengakui 2,300 penguatkuasa masih tidak mencukupi untuk menangani masalah kenaikan harga berkenaan.

Sebaliknya, rakan KPDNKK diyakini mampu menjadi mata dan telinga kementerian untuk menangani isu berkenaan.

"Sehingga kini ada kira kira 303,000 'Friends of KPDNKK' dalam kalangan pengguna jadi mata-mata kita untuk membuat aduan," ujar beliau.

Mengulas lanjut, sebanyak 7,848 notis kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dikeluarkan sehingga 8 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 209 kertas siasatan telah dibuka melibatkan peniaga yang menaikkan harga barangan pada kadar yang tidak munasabah di bawah akta berkenaan.

"Sejumlah 19 kes didakwa di mahkamah dengan 16 kes selesai didakwa dan didenda lebih RM400,000," jelas beliau.