KUALA LUMPUR: Sejak 2018 sehingga 31 Okt 2021, sejumlah 20,025 talian telefon ditamatkan atas kesalahan mesej spam yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia hasil tindakan pihak kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, SKMM menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya.

Jelasnya, ia penting bagi mengelakkan nombor-nombor berkenaan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuklah penipuan dan mempromosi judi dalam talian.

"Tindakan pencegahan yang dijalankan oleh kementerian melalui SKMM juga adalah dengan melaksanakan tindakan sekatan akses atas laman sesawang judi dalam talian.

"Bermula 2018 sehingga 31 Oktober 2021, sejumlah 4,799 laman web judi dalam talian telah disekat berdasarkan permohonan rasmi pihak PDRM, atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

"Usaha ini akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa berdasarkan permohonan daripada PDRM serta maklumat dan aduan yang diterima daripada masyarakat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu usaha drastik kementerian bagi mengatasi isu berkenaan mesej 'spam' yang mempromosi judi dalam talian.

Tiada kes penjualan data peribadi oleh syarikat telekomunikasi - Zahidi

Mohd Nizar juga mahu tahu sama ada terdapat sebarang penglibatan pengendali syarikat telekomunikasi yang bersekongkol dengan sindiket ini bagi menjual data peribadi pengguna.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), tiada sebarang kes penjualan data peribadi dicatatkan oleh syarikat telekomunikasi.

Justeru, katanya, SKMM akan mempergiatkan program-program advokasi pengguna menerusi kempen-kempen kesedaran di seluruh negara, serta hebahan media massa bagi memupuk kesedaran orang ramai supaya tidak terjebak dengan kegiatan judi dalam talian.