Pertemuan YDPA dan Raja-Raja Melayu dijangka berlangsung esok

Astro Awani
Oktober 24, 2020 10:15 MYT
Menurut sumber, pertemuan khas itu dijadualkan akan bermula pada jam 2.30 petang dan hanya akan melibatkan Majlis Raja-Raja. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Satu pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-Raja Melayu dijangka akan diadakan pada Ahad (25 Oktober) di Istana Negara bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan COVID-19.
Menurut sumber, pertemuan khas itu dijadualkan akan bermula pada jam 2.30 petang dan hanya akan melibatkan Raja-Raja Melayu dan tidak akan melibatkan Yang di-Pertua Negeri atau mana-mana ahli politik.
Memetik sumber itu lagi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai hak untuk mengisytiharkan darurat namun perkara itu akan dibincangkan bersama Raja-Raja Melayu.
Difahamkan, sekurang-sekurangnya enam Sultan sudah mengesahkan keberangkatan baginda dan dijangka kesemua Raja-Raja Melayu akan berkenan berangkat menghadiri pertemuan tersebut.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Darurat? Ini perkembangan politik negara
BACA: Agong berkenan adakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu
Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan mengesahkan, Yang di-Pertuan Agong menerima sembah taklimat Perdana Menteri berhubung cadangan-cadangan yang telah dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri semalam.
Susulan itu, baginda akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
BACA: Agong nasihat rakyat tenang, sabar, jangan spekulasi
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan itu, dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya.
Semalam, spekulasi mula tersebar kerajaan bakal mengisytiharkan darurat susulan mesyuarat khas tersebut, yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
BACA: Darurat: Kabinet masih berfungsi, tertakluk keputusan Yang di-Pertuan Agong - Penganalisis
BACA: Rundingan dengan Raja-Raja Melayu gambarkan ketelitian Agong
#Yang di-Pertuan Agong #COVID-19 #darurat kesihatan #Darurat Malaysia #Al-Sultan Abdullah #Raja-raja Melayu #Muhyiddin Yassin