KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen yang berlangsung pada esok diharap dapat menjadi platform kebebasan untuk setiap wakil rakyat bersuara termasuk pembangkang untuk bertanyakan soalan.

Demikian pandangan yang diberikan Ahli Parlimen Kota Belud merangkap Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis yang mengharapkan wujudnya sistem giliran lebih sistematik supaya semua pihak diberikan peluang sama rata dalam Dewan Rakyat.

"Saya datang dari Sabah, datang dari jauh, pertama kali bersidang dalam tahun 2021, sememangnya saya mengharapkan supaya diberi kebebasan iaitu kami, ahli politik dari pihak pembangkang diberikan kebebasan dan tiada sekatan dari segi bertanyakan soalan.

"Saya sangat mengharapkan akan ada sesi penerangan menteri supaya ahli parlimen diberi ruang yang sekata dan wujud sistem giliran yang sistematik," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Ujarnya, mesyuarat yang julung kali diadakan ketika negara dalam tempoh pandemik COVID-19 ini harus dimanfaatkan sebaiknya untuk menyampaikan segala pandangan berkaitan sebarang isu. 

"Sebab tidak ada gunanya kalau kita mengehadkan ruang Dewan Parlimen itu kepada 80 orang tetapi tidak diberi kesempatan untuk bertanya.

"80 orang diberikan ruang dan masa bertanya soalan. Ini kali pertama, tiada wujudnya berat sebelah dan bukan masa untuk kita bermain politik," tegasnya.