Mesyuarat MT UMNO ditangguh lagi

Irwan Muhammad Zain
Oktober 19, 2020 14:08 MYT
Pada 16 Oktober lalu, Ahmad memaklumkan mesyuarat MT UMNO akan diadakan pada Selasa di satu lokasi di Pahang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijadualkan berlangsung pada Selasa di Janda Baik, Pahang ditangguhkan sekali lagi.
Menurut salah seorang ahli MT UMNO, penangguhan itu terpaksa dibuat atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) MKN ialah rentas sempadan, daerah dan negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah dilarang.
"(Pilihan lain) mesyuarat guna aplikasi Webex, Zoom atau mana-mana kaedah video conferencing pula tidak selamat daripada segi kerahsiaan.
"Jadi mesyuarat MT UMNO terpaksa ditunda sehingga selesai PKPB," kata beliau yang enggan namanya didedahkan.
Pada 16 Oktober lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan mesyuarat MT UMNO akan diadakan pada Selasa di satu lokasi di Pahang.
Ahmad berkata, mesyuarat yang sepatutnya diadakan secara sidang video pada Sabtu lalu terpaksa ditangguhkan memandangkan ahli MT mahu ia dijalankan secara bersemuka.
#mesyuarat MT UMNO tangguh #mesyuarat #Ahli Majlis Tertinggi #Janda Baik #ditangguhkan #PKPB #persidangan video #kerahsiaan #Ahmad Maslan