KUALA LUMPUR : Beberapa kawasan di seluruh negara termasuk Lembah Klang mengalami hujan lebat dan angin kencang, pada Jumaat.

Berdasarkan tinjauan di Twitter rasmi Astro AWANI sekitar jam 7.30 malam ini, ada pengguna yang mendakwa hujan lebat disusuli guruh itu turut mengakibatkan kawasan rumah mereka terjejas sehingga bumbung tercabut.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam pada itu turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan sejumlah kawasan sehingga 10 malam ini.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya dalam kenyataan pada hari ini. 

Antara kawasan yang terlibat termasuk di Kemaman (Terengganu), Bentong (Pahang), Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta Sepang di Selangor.


Sementara itu, amaran sama turut dikeluar melibatkan Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan.

Antara lain, Negeri Sembilan melibatkan Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau serta Tampin. Di Melaka melibatkan daerah Jasin, di Johor pula melibatkan tiga kawasan iaitu di Tangkak, Segamat dan Muar. 

Di Sarawak tujuh daerah iaitu di Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu dan Limbang turut dibadai hujan lebat dan angin kencang.

Di Sabah pula melibatkan Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan, Ranau, Sandakan, Tongod, Telupid, Beluran dan Kudat.

Astro AWANI akan terus memantau keadaan semasa hujan lebat yang berlaku ketika ini dan membawakan kemas kini terbaharu berkenaan situasi ini.