Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 20 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Timur Ukraine malam tadi masih belum dapat dikenal pasti.

Bagaimanapun jelas beliau, 21 daripada 40 penumpang yang pada awalnya tidak dapat dipastikan identiti, kini telah dapat dipastikan kewarganegaraan mereka.

"Kita telah kenal pasti identiti mangsa tragedi MH17 iaitu 173 warganegara Belanda, 27 warganegara Australia, 12 warganegara Indonesia, sembilan dari United Kingdom, tiga warganegara Filipina, satu dari New Zealand dan satu dari Kanada," katanya pada sidang media di Hotel Sama Sama di sini hari ini.

Tambahnya warganegara Malaysia yang turut terkorban berjumlah 44 orang manakala warganegara Belgium dan Jerman pula masing-masing empat orang.

Menurut Tiong Lai, waris serta keluarga terdekat mangsa telah pun dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, namun mereka tidak akan dihantar ke Ukraine.

Dalam pada itu, Tiong Lai memaklumkan, satu pasukan siasatan khas antarabangsa akan ditubuhkan bagi menyiasat nahas tersebut.

Katanya, dua orang akan dihantar untuk menyertai pasukan penyiasat tersebut di mana ia telahpun dimaklumkan kepada Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Selain itu, beliau juga memberitahu bahawa Menteri Luar Ukraine telah menunjukkan komitmen untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung tragedi MH17 itu.

Pesawat Boeing-777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terhempas pada Khamis di Timur Ukraine, berhampiran dengan ibu kota Donetsk, tapak di mana puak pemisah bangkit menentang pemerintahan pusat dari Kiev pada bulan April.

Penerbangan itu membawa 298 orang di atas kapal dan semuanya terbunuh.