Sudah hampir dua bulan kejadian nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 berlaku, namun apa yang kita ketahui setakat ini dan apa pula yang masih tidak kita ketahui?

Satu laporan awal siasatan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) telah pun dikeluarkan semalam (Selasa) dan ia sedikit sebanyak merungkai beberapa persoalan tentang kejadian tersebut.

Bagaimanapun masih ada beberapa isu tentang nahas tersebut yang masih menjadi tanda tanya.


Jadi, apakah yang kita tahu setakat ini?

Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu membawa 280 penumpang dan dikendalikan oleh 15 anak kapal, yang mana kesemuanya terkorban dalam nahas tersebut.

Ia merupakan model pesawat yang sama dengan pesawat penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang pada 8 Mac lalu dan masih gagal dikesan sampai hari ini.

Penerbangan MH17 berlepas dari Lapangan Antarabangsa Schipol di Amsterdam pada pukul 12.15 tengahari waktu tempatan (6.15 petang waktu Malaysia) dan dijadual tiba di KLIA jam 6.10 pagi hari berikutnya.

Daripada 298 orang yang terkorban itu, 45 orang adalah rakyat Malaysia, 154 orang adalah rakyat Netherlands, 27 dari Australia, 12 dari Indonesia, 9 dari United Kingdom, empat masing-masing dari Jerman dan Belgium, tiga dari Filipina serta satu dari Kanada.

MANGSA NAHAS MH17 DALAM KENANGAN

Pesawat itu terhempas genap 17 tahun selepas memulakan penerbangannya yang pertama pada 17 Julai 1997. Pesawat itu diserahkan kepada MAS pada 29 Julai 1997.

Ini adalah nahas besar yang kedua yang dialami oleh MAS dalam masa empat bulan.


Maklumat selepas laporan awal

Pada Selasa, laporan DSB mencadangkan bahawa pesawat MH17 ditembusi oleh objek berkelajuan tinggi sebelum ia berkecai di udara.

Laporan tersebut juga mengatakan tidak ada petunjuk yang nahas tersebut disebabkan oleh kesilapan teknikal atau perbuatan anak kapal.

Siasatan ke atas perakam suara kokpit, data penerbangan pesawat dan data pusat kawalan trafik juga menunjukkan penerbangan pesawat itu berjalan secara normal sehingga pukul 13.20.03 (UTC) sebelum berakhir secara tiba-tiba.


Apa yang kita tidak tahu

- Siapa yang menembak jatuh MH17?

- Adakah ianya dari puak pemisah di Ukraine yang diarahkan oleh Russia untuk berbuat demikian?

- Adakah penembakan itu disengajakan atau tersalah tembak kerana disangka pesawat ketenteraan?

- Bagaimana reaksi Amerika Syarikat dan Eropah seandainya pesawat itu benar-benar ditembak jatuh puak pemisah Ukraine?

- Jika puak pemisah tersebut terbukti bersalah, bagaimana pula reaksi hubungan Russia terhadap mereka nanti?


Reaksi beberapa negara tentang nahas ini

Amerika Syarikat melalui Presidennya Barack Obama telah mendakwa puak pemisah Ukraine menerima bantuan berterusan dari Russia.

Amerika juga telah mendakwa Russia enggan mengambil langkah untuk meredakan pergolakan di sempadan Ukraine.

Pihak Russia menerusi Presidennya Vladimir Putin pula berkata, Ukraine bertanggungjawab penuh atas kejadian nahas tersebut.

Bagi pihak Ukraine pula, mereka mendakwa puak pemisah tersebut telah menembak jatuh pesawat itu kerana menyangka ianya pesawat Aeroflot dari Rusia.

Malaysia menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penjenayah yang menembak jatuh MH17 dibawa ke muka pengadilan.

Kata Najib pada Selasa selepas pendedahan DSB pula, laporan bahawa pesawat ditembusi oleh objek berkelajuan tinggi menimbulkan syak wasangka tinggi yang MH17 sememangnya ditembak jatuh.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengarahkan semua pihak bekerjasama bagi membantu siasatan bagi laporan penuh nahas tersebut.