Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata negara itu akan menghantar sepasukan anggota tentera ke kawasan nahas di Ukraine bagi membantu sekumpulan anggota polis negara itu bagi menjalan kerja-kerja siasatan.

Abbott bagaimanapun berkata kumpulan itu adalah berteraskan tugas-tugas kemanusiaan semata-mata lapor AFP.

Abbott sememangnya antara pemimpin dunia yang lantang bersuara sejak kejadian menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia, MH17 yang didakwa dilakukan kumpulan pemisah Ukraine pro Rusia di timur negara itu.

Dianggarkan seramai 90 anggota polis Australia telahpun berada di Eropah bagi membantu usaha-usaha siasatan dan mencari saki-baki mayat mangsa di lokasi nahas.

100 lagi anggota akan berlepas pada Jumaat untuk menyertai operasi itu yang dianggap sesuatu yang perlu dilakukan untuk membantu keluarga mangsa yang sedang bersedih, kata Abbott.

Australia kini sedang di peringkat akhir memuktamatkan usaha itu dengan kerajaan Ukraine.

“Sebahagian dari mereka (anggota polis) yang dihantar tidak akan dibekalkan dengan senjata, selebihnya mungkin bersenjata,” kata Abbott.

“Ya, akan ada sebahagian anggota tentera ADF sebagai sebahagian dari anggota misi itu, sekiranya ia dipersetujui,” Abbott menambah tanpa memberikan jumlah anggota tentera yang terlibat.

Perkara itu kemudiannya disahkan pejabat Abbott.

Majoriti yang terbunuh dalam nahas pesawat MH17 adalah warga Belanda manakala di pihak Australia sejumlah 28 rakyat dan sembilan pemaustautin negara itu terkorban dalam nahas itu.

Kata Abbott adalah penting untuk memastikan kawasan nahas adalah selamat berikutan masih banyak mayat dan cebisannya yang masih belum dipungut.

“Saya jangkakan operasi darat di Ukraine, sekiranya dibenarkan, akan hanya mengambil masa beberapa minggu.

Abbott berkata dia telah bercakap dengan presiden Rusia Vladmir Putin sebanyak dua kali sejak minggu lepas.

“Presiden Putin melahirkan rasa simpati, sesuatu yang anda dapat jangkakan dari seorang insan, atas apa yang berlaku terhadap 37 keluarga dari Australia.

“Dia (Putin) juga secara terbuka dan peribadi telah melahirkan sokongannya agar tapak nahas dijamin keselamatannya bagi membolehkan satu siasatan yang adil dapat dilakukan dan mayat mangsa dapat dibawa pulang.”