Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan satu sidang tergempar pada Jumaat bagi membincangkan insiden pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang terhempas di timur Ukraine.

Mesyuarat 15 negara anggota yang dipengerusikan oleh Rwanda itu akan diadakan pada pukul 10.00 pagi waktu New York (1400 GMT).

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam kenyataannya mahu “satu siasatan penuh dan telus oleh pasukan antarabangsa” berhubung insiden itu.

Britain sebelum ini menggesa satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB bagi membolehkan satu pasukan siasatan diketuai oleh PBB ditubuhkan bagi menyiasat insiden itu.