Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia sebagai pemilik kapal terbang Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine akan memastikan bahawa kotak hitamnya tidak dikuasai pihak yang tidak ada kena mengena dengan insiden itu.

Katanya, mengikut peraturan antarabangsa, pemilik pesawat berhak ke atas kotak hitam itu.

"Kotak hitam itu mesti ikut pada undang-undang antarabangsa dan mereka yang tidak berhak, tidak boleh menguasai dan mengambil alih kotak hitam itu," katanya kepada media selepas meluangkan masa bertemu dengan keluarga mangsa nahas pesawat MH17 di sini hari ini.

Turut bersama bertemu secara peribadi dengan keluarga tersebut ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Melahirkan rasa sedih bagi pihak kerajaan di atas tragedi itu, Perdana Menteri menyatakan komitmen kerajaan akan melakukan yang terbaik terutama untuk membawa balik mangsa-mangsa tragedi terbabit.