KUANTAN: Malaysia tetap berpegang kepada prinsip tidak menyalahkan mana-mana negara sehingga proses siasatan dan penghakiman pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak di Wilayah Donetsk, Ukraine dimuktamadkan.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, selagi tidak mempunyai bukti jelas, Malaysia tidak akan sesekali menuding jari kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, Malaysia, kata beliau, memberi penghargaan kepada 'Pasukan Siasatan Bersama (JIT)' atas kerjasama dan semangat meneruskan siasatan dan meneruskan prosiding.

"Walaupun ada pihak yang mendesak Malaysia untuk membuat kenyataan yang sebaliknya tetapi kerajaan Malaysia tetap istiqamah selagi tidak ada bukti yang jelas, selagi siasatan belum selesai dan proses kehakiman belum selesai, kita tetap mengatakan bahawa kita berpandu kepada proses yang dilaksanakan sekarang," ujar Saifuddin.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Taekwon-do MGTF bagi sekolah-sekolah serta kelab-kelab negeri Pahang.

Menurut Saifuddin, proses kehakiman yang menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mendapatkan kebenaran dan jawapan kepada perbuatan jenayah tersebut selain menuntut keadilan bagi mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi MH17.

Hari ini merupakan ulangan tahun kelapan tragedi yang mengorbankan 298 nyawa penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Saifuddin dalam masa sama, menyampai rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa nahas tersebut.