Pasukan penyiasat antarabangsa termasuk dari Malaysia masih belum boleh memasuki lokasi nahas pesawat MH17 berikutan keadaan yang tidak cukup selamat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pasukan penyiasat Malaysia yang terdiri daripada 30 pegawai dan anggota polis berlepas ke Ukraine baru-baru ini dan masih berada di Kiev kerana masih belum terdapat tanda kawasan itu selamat, walaupun perjanjian gencatan senjata telah ditandatangani antara kerajaan Ukraine dan puak pemisah serta dipantau Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah.

Beliau berkata pasukan penyiasat mempunyai sekurang-kurangnya 45 hari untuk melakukan siasatan di lokasi nahas sebelum musim sejuk yang dianggap agak ekstrem di timur Ukraine.

"Kita akan menunggu masa paling sesuai supaya pasukan siasatan dapat memulakan siasatan di lokasi nahas. Kita terpaksa berada di kawasan siasatan dengan segera kerana ketibaan musim sejuk adalah mustahil dan sukar untuk mendapatkan bahan-bahan bukti.

"Apatah lagi, dalam keadaan waktu begitu lama sejak nahas, ia sukarkan untuk menjalankan penyiasatan," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata dengan kerjasama pasukan antarabangsa lain terutama Belanda dan Australia, diharapkan pihak yang bertelagah dapat memberi peluang untuk siasatan dijalankan semula.

Beliau berkata pihak kerajaan Ukraine telah menyatakan sokongan terhadap pasukan Malaysia untuk kembali ke lokasi nahas untuk menjalankan siasatan.

Ditanya sekiranya pasukan penyiasat masih gagal memasuki lokasi nahas, Ahmad Zahid berkata 'Pelan B' akan dilakukan untuk meneruskan siasatan.

"Kita akan melakukan analisis terhadap bahan-bahan bukti yang dikumpul oleh pasukan siasatan awal sebelum ini di Kiev dan Hague," katanya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda antara lain menyebut struktur pesawat MH17 berkecai di udara berkemungkinan akibat ditembusi objek bertenaga tinggi dari luar pesawat dan tiada petunjuk bahawa nahas disebabkan masalah teknikal atau perbuatan anak kapal, selain pesawat itu disahkan 'layak terbang'.