Media

KUALA LUMPUR: Tiada siapa menduga tragedi kehilangan MH370 akan berlarutan sekian lama.

Itu tanggapan warga media yang membuat liputan sejak hari pertama pesawat itu hilang, 8 Mac lalu.

Insiden itu nyata bukan sahaja memberi kesan kepada seluruh dunia malah pengamal-pengamal media yang melaporkan berita kehilangan MH370.

Biarpun tugasan utama melaporkan kehilangan pesawat itu yang sehingga kini kekal misteri namun, di sebalik tanggungjawab yang tidak mengenal masa itu, pengamal-pengamal media turut tersentuh dengan apa yang berlaku.

Insiden itu membuatkan wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad memikirkan mengenai erti kehidupan dan betapa singkatnya masa di dunia.

"Saya terfikir macam mana satu perjalanan bermula dan berakhir dalam kegembiraan dalam sekelip mata menjadi satu tragedi. Saya terfikir oh singkatnya masa saya, masa kita semua manusia di dunia ini bila-bila masa boleh diambil begitu sahaja." kata Sophia yang merupakan antara pengamal media yang tidak dapat menahan air mata apabila pertama kali mendengar pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pesawat MH370 telah berakhir di Lautan Hindi.

"Saya fikir apa yang telah saya buat untuk anak saya, keluarga saya. Sebulan kehilangan pesawat hampir sebulan jugalah saya bertugas di sini. Masa bersama anak saya menjadi sangat terhad tetapi jauh di sudut hati saya, saya bangga kerana saya sebahagian daripada sejarah dan saya sebahagian pasukan yang melaporkan kehilangan ini yang sama-sama memberi input dan maklumat kepada orang ramai." tambahnya lagi.

Sejak hari pertama kehilangan pesawat MH370 juga insiden itu telah mengundang pelbagai kritikan khususnya daripada media antarabangsa yang mendakwa kerajaan Malaysia tidak telus dalam menyampaikan maklumat.

Situasi itu bukan sahaja memberikan tamparan hebat kepada imej agensi terlibat malah juga meninggalkan persepsi seolah-olah pihak berkuasa tidak bersedia berdepan krisis itu.

Namun di sebalik tanggapan buruk khususnya media antarabangsa, ia juga memupuk semangat cintakan negara di kalangan media tempatan khususnya bagi wartawan Bernama TV Zanariah Zain yang tekad menangkis persepsi buruk media antarabangsa menerusi laporannya yang sahih dan bernas.

"Memang pengalaman ini sangat mengubah hidup saya apabila 30 hari saya mengikuti secara dekat ia membuatkan saya lebih cintakan negara saya. Ia juga membuatkan saya rasa Datuk Seri Hishamuddin dan Datuk Seri Najib antara dua individu yang sangat berani walaupun kurang tidur berhadapan pelbagai kritikan. Saya fikir jika bukan kami rakyat Malaysia yang menyokong pemimpin dan negara dalam masa krisis ini siapa lagi?" kata Zanariah.

Ada yang mungkin berhujah bencana besar seumpama itu jarang sekali berlaku di Malaysia, justeru tidak wajar menilai pengurusan krisis negara bersandarkan pengalaman ini.

Namun detik demi detik, perkara itu mula difahami media antarabangsa yang membuat liputan mengenai pesawat MH370.

Bagi wartawan Wall Street Journal, Richard Paddock apa yang mulanya disangka media antarabangsa tindakan menutup kes itu nyata bukan apabila semua pihak juga ingin menyelesaikan misteri pesawat yang kekal tanda tanya itu.

"Saya fikir situasi ini agak sukar dilaporkan. Secara peribadinya saya ingin melihat lebih banyak maklumat yang disampaikan tetapi saya sedar pihak berkuasa juga berdepan cabaran mencari jawapan kepada apa yang berlaku. Kadang-kala tidak banyak maklumat yang dapat kami peroleh. Saya tidak pasti sama ada kerana mereka tidak berpengalaman dan menyampaikan maklumat berkenaan atau mereka juga tidak mempunyai jawapan. Saya merasakan mereka juga tidak tahu apa yang berlaku." kata Richard.

Sepanjang menangani sidang media berkenaan MH370, pihak berkuasa Malaysia dilihat sentiasa mengambil sikap berhati-hati dalam menyampaikan input yang bersangkut-paut dengan keselamatan.

Perkara itu bagaimanapun sering disalah tafsir keluarga dan media antarabangsa khususnya dari China sebagai tindakan menyembunyikan maklumat berkenaan kehilangan pesawat berkenaan.

Namun ada yang berpendapat persepsi sedemikian juga wajar diambil ikhtibar.

"Media antarabangsa mungkin mempunyai tanggapan negatif tetapi mungkin kita perlu mengambil ikhtibar daripadanya seperti memahami mengapa mereka mempunyai persepsi sedemikian dan bukan menganggap mereka mempunyai tanggapan yang salah terhadap Malaysia. Sekiranya benar mereka mempunyai tanggapan pilih kasih adalah tanggungjawab kami memperbetulkan tanggapan itu." kata Keith Kam, pemberita BFM Radio.

Apa yang nyata, tidak kira berapa lama pengalaman sekalipun dalam bidang kewartawanan dan membuat liputan insiden yang mengegarkan dunia, pengamal media juga tidak terlepas terkena tempias pergolakan emosi melakukan liputan tragedi ini.

Bagi Justin Hale daripada Channel 7 Australia, sepanjang pengalamannya bertahun-tahun membuat liputan kes pengeboman Bali dan tsunami di Acheh, kehilangan MH370 adalah liputan paling sukar baginya.

"Ini barangkali insiden paling beremosi yang pernah saya laporkan. Sebelum ini saya pernah membuat liputan pengeboman Bali, tsunami dan sebagainya tetapi dari segi emosi ini adalah yang paling sukar bagi saya. Cabaran terbesar untuk kekal fokus biarpun terdapat banyak emosi yang bermain dalam fikiran kerana sememangnya ini adalah laporan yang amat menyayat hati." kata Justin.

Liputan media tragedi yang disangka akan berakhir seminggu dua kini sudah berlarutan sehingga sebulan.

Namun tidak kira berapa lama sekalipun penantian, pengamal media tekad untuk terus melaporkan sebarang perkembangan terkini MH370 untuk ahli keluarga penumpang dan seluruh dunia.