Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Tun Hussein hari ini memberitahu pasukan misi mencari dan menyelamat (SAR) belum menemui sebarang kotak hitam daripada pesawat MH370 yang hilang awal pagi Sabtu lepas.

"Tidak ada apa-apa kesan ditemui, tidak ada kotak hitam milik MH370 dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

"Fokus kita untuk mencari pesawat. Kita melakukan operasi di Laut China Selatan dan Selatan Melaka.," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini.

Beliau juga mengesahkan lebih ramai pakar dibawa ke dalam negara untuk membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

"Kita bekerjasama dengan banyak pihak, kita membawa pakar untuk menganalisis data terkumpul oleh tentera dan penyiasat awam dari barat dan timur, termasuk NTSB AS," katanya.

Hishammuddin juga mengesahkan sebuah objek berupa rakit yang ditemui sekumpulan nelayan di Port Dickson tiada kaitan dengan pesawat MH370.

Beliau menolak dakwaan bahawa lebih banyak kekeliruan kini timbul apabila pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) masih belum ditemui yang masuk hari kelima hari ini.

"Banyak soalan spekulasi kita jawap sepanjang sidang akhbar sejak Sabtu lalu.

"Kalau kita tahu di mana kita akan fokus kepada satu kawasan. Semua jawapan kami adalah konsisten. Sebab itu kita deploy semua pesawat dan kapal serta operasi mencari dan menyelamat kepada dua kawasan.

"Selagi kita tak jumpa pesawat kita tidak akan hentikan operasi," tegas beliau.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata sebanyak 12 negara menyertai misi SAR pesawat MH370 dengan negara terbaru India, Jepun dan Brunei.

Beliau berkata Malaysia juga amat mengalu-alukan lebih ramai pakar dalam bidang penerbangan tampil membantu operasi SAR.

"Kita bekerjasama dengan banyak pihak dan setakat ini tiga negara lagi iaitu India, Jepun dan Brunei turut menyertai misi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan.

"Sehingga kini 39 pesawat, 42 kapal dan 12 negara bersama dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 ini," katanya lagi.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Vietnam, Hishammuddin menjelaskan kerajaan telah menghantar satu nota diplomatik kepada kerajaan Vietnam semalam supaya Malaysia boleh menghantar bantuan operasi mencari dan menyelamat di kawasan perairan negara itu.

"Ada tuduhan kerjasama dengan Vietnam tak erat. Kita menafikannya. Usaha nencari dan menyelamat pada tahap kebertanggungjawapan pihak Vietnam. Mereka tidak menolaknya.

"Kita bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Vietnam. Apa yang kita tahu setakat ini kerjasama itu sangat baik sehingga hari ini," jelas beliau.

Sebelum ini dilaporkan Vietnam telah menggantung operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di udara sementara menunggu Malaysia untuk menjelaskan hala tuju baru dalam pencarian pesawat yang hilang secara tiba-tiba pada Sabtu lepas.

Selain itu, menurut laporan AFP, operasi pencarian di laut turut dikecilkan skalanya.