Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hari ini mengecam keras usaha mengaitkan Barisan Nasional (BN) berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac.

Khairy dalam satu kenyataan yang disiarkan di lama Facebooknya merujuk liputan media asing yang membuat laporan seolah-olah kerajaan cuba mengaitkan juruterbang pesawat itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, BN tidak pernah mengaitkan secara Zaharie dengan PKR biarpun sebelum ini Naib Presiden parti itu, R. Sivarasa yang mendedahkan bahawa juruterbang itu menyokong parti berkenaan.

"Tak kiralah politik beliau, BN menghormati perasaan keluarga Kapten Zaharie. Kita tak pernah kaitkan apa-apa motif politik pada beliau.

"Yang mengambil kesempatan berpolitik sekarang bukannya BN, tetapi Anwar yang sentiasa cuba menjadi mangsa.

"Cukuplah, Anwar. Tak perlulah putar belit dan fitnah. Kamu sebenarnya yang tidak menghormati Kapten Zaharie dengan putar belit yang cukup tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines (MAS) yang dalam penerbangan ke Beijing hilang sejak awal pagi Sabtu dan masih belum ditemui sehingga hari ini.