Malaysia akan akan menghantar Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Noor Izhar Baharin dan Penolong Pengarah Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautical Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Ahmad Baidove bagi menyertai operasi Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth, Australia.

Pemangku menteri pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu telah diberitahu kepada Ketua Penyelaras JACC, Marsyal Udara (B) Angus Houston bahawa mereka akan ke Perth dalam masa terdekat ini untuk berbincang dengan pihak JACC serta melihat apa lagi yang perlu dilakukan.

Tambahnya lagi, pengerusi atau wakil tiga jawatankuasa khas peringkat kementerian turut akan terbang ke sana dalam masa terdekat untuk membincangkan tentang persediaan yang perlu dilakukan pihak Malaysia dalam operasi pencarian kotak hitam MH370 dan selepas penemuannya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan ke Terminal Penerbangan Tambang Rendah, KLIA2, di sini hari ini.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa peringkat kementerian iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pergerakan Aset bagi memantapkan dan memperkemas operasi mencari MH370 yang sedang dijalankan.

Jawatankuasa Waris Penumpang diketuai Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin; Jawatankuasa Teknikal diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Jawatankuasa Pergerakan Aset diketuai Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

JACC sedang berusaha untuk mengenal pasti isyarat yang dikesan di selatan Lautan Hindi ketika gerakan mencari pesawat Malaysia itu memasuki hari ke-36 hari ini.

Pesawat Penerbangan Malaysia MH370 hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Gerakan mencarinya sedang diteruskan.