Perkongsian maklumat ketenteraan antara negara-negara kadangkala terdapat halangan tertentu seperti soal keselamatan berkaitan pertahanan sesuatu negara.

Mantan Panglima Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Tan Sri Suleiman Mahmud berkata namun begitu, maklumat ketenteraan ini masih perlu dikongsi terutama dalam krisis kemanusiaan atau insiden seperti kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

"Sudah tentu ada batasannya dalam perkongsian maklumat ketenteraan ini namun dalam krisis besar seperti kehilangan pesawat MH370 yang juga melibatkan nyawa manusia, terdapat kelonggaran di mana negara-negara yang terlibat lazimnya lebih bersedia berkongsi maklumat-maklumat tertentu dengan Malaysia." kata Suleiman ketika ditemui Astro AWANI.

Beliau yang menjawat jawatan tertinggi dalam TUDM itu antara 12 Jun 2001 hingga 3 Mac 2003, menambah bahawa negara-negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei mempunyai jaringan hubungan ketenteraan yang sangat utuh dengan Malaysia.

Melalui persefahaman bersama ini juga, maka wujud pakatan-pakatan bilateral terutamanya dalam aspek latihan ketenteraan bersama seperti latihan Malindo (Malaysia dan Indonesia), Air Thamal (Malaysia dan Thailand) dan sebagainya.

Selain itu, Malaysia juga mempunyai perjanjian atau pakatan bilateral di bidang Mencari dan Menyelamat (SAR), yang bukan ketenteraan, dengan Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei.

Meskipun negara tidak boleh mendedahkan informasi yang terdapat melalui radar ketenteraan tetapi disebabkan perkara ini melibatkan mencari dan menyelamatkan pesawat yang juga melibatkan nyawa penumpang-penumpang, maka maklumat tertentu boleh dikongsikan, asalkan ianya tidak menjejas keselamatan (security) negara.

"Menerusi pakatan bilateral dengan Negara-Negara ASEAN ini, sebarang maklumat yang diperlukan akan dikongsi menggunakan medium dan jaringan (networking) yang sedia terjalin, terutamanya apabila kita mengkehendaki bantuan kemanusiaan," ujarnya.

"Kita mempunyai jawatankuasa mencari dan menyelamat bersama namun ianya dicapai tidaklah secara menyeluruh kerana ianya lebih banyak berbentuk hubungan bilateral seperti Malaysia dan Indonesia, Malaysia dan Singapura dan seterusnya," tambah beliau.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata

"Perkongsian maklumat ketenteraan antara negara-negara yang terlibat terutamanya dalam misi pencarian pesawat MH370 ini adakalanya menjadi sukar dan tidak dikongsikan dengan awal kepada Malaysia berkemungkinan kerana pihak tentera negara-negara yang terbabit ini harus melihat dengan teliti objek yang melintasi radar mereka itu adakah benar-benar ianya pesawat MH370," katanya.

Namun begitu, informasi awal yang mampu dikongsikan kepada Malaysia dalam isu tersebut selalunya akan dinyatakan dalam bentuk umum.

"Sebagai contoh, mereka akan memberitahu bahawa ada objek atau pesawat melintasi radar mereka pada hari dan jam tertentu dan begitu juga maklumat terkini MH370 yang mengatakan terdapat pesawat yang terbang rendah di Maldives, maklumat tersebut hanya setakat itu dan tidak dipastikan kesahihan bahawa ianya adalah pesawat MH370," kata Abdul Rahman lagi.

Maklumat-maklumat ini agak rahsia dan lazimnya dikongsi sesama tentera sahaja dan tidak dihebahkan kepada umum.