"Saya mahu tahu di mana dia dan apa yang sudah terjadi kepadanya."

Kenyataan ringkas daripada seorang waris penumpang MH370 yang enggan dikenali itu diterima selepas penemuan cebisan sayap yang juga dikenali sebagai flaperon itu di Pulau Reunion berdekatan kepulauan Madagascar, yang berkemungkinan serpihan pesawat MH370 MAS yang hilang pada Mac 2014 bersama 239 penumpang .

Waris berkenaan juga menyatakan, akan tetap sabar menanti perkembangan terkini penemuan itu dan berharap ada sumber lain yang boleh menenangkan hatinya yang berdebar sejak berita itu tersebar pada Rabu.

Sementara itu, seorang lagi waris penumpang MH370 yang enggan dikenali memberitahu, penemuan serpihan itu merupakan berita tidak masuk akal selain konspirasi pihak tertentu dengan tujuan yang tertentu.

"Tuhan memerhati mereka yang memainkan konspirasi ini, hebat gerak geri cerita MH370 ini sejak hilang dahulu sehingga sekarang."

"Saya sudah masak dengan drama murahan sebegini," jelasnya.

VIDEO: Penganalisis: Serpihan pesawat disyaki MH370

BACA: Malaysia hantar pasukan siasat penemuan serpihan

BACA: Terlalu awal untuk kaitkan penemuan serpihan pesawat dengan kehilangan MH370 - MAS

MH370, Debris

Dalam pada itu seorang lagi waris penumpang MH370 yang juga enggan dikenali menyifatkan berita itu hanya menyakitkan hatinya.

"Kita tidak tahu betul atau tidak, sakit hati sahaja apabila membacanya," ujarnya ringkas.

Pada Khamis, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan, Malaysia menghantar satu pasukan khas ke Pulau Reunion untuk menyiasat sama ada serpihan yang ditemui adalah milik penerbangan MH370 yang hilang lebih setahun lalu.

Jelasnya, sebarang penemuan perlu diteliti sebelum pengesahan boleh dibuat.

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, spekulasi mengenai MH370 yang tersebar di media sosial tidak mudah dihalang, meskipun kerajaan telah melarang maklumat sedemikian dikongsikan.

Jelasnya, maklumat itu kadang-kala datang dari luar negara dan kemudiannya disebarkan oleh pengguna media sosial tempatan.