Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan bahawa sentimen anti-Malaysia di China tidak wujud, meskipun terdapat dakwaan bahawa media Malaysia tidak mendapat layanan yang baik di negara itu.

"Saya rasa daripada sebahagian besar penumpang-penumpang, sentimen anti-Malaysia tidak wujud... malah mereka bukan sahaja menghargai tetapi mengharapkan sangat bahawa kita teruskan SAR (pencarian dan menyelamat) kita," katanya pada sidang media mengenai MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Isnin.

Beliau diminta wartawan untuk mengulas mengenai dakwaan tentang sentimen anti-Malaysia yang dikatakan wujud di China ekoran laporan yang mengatakan pihak media tidak dibenarkan membuat liputan taklimat pasukan tertinggi Malaysia bersama ahli keluarga penumpang di sana.

Jelas Hishammuddin, perkara itu mungkin timbul daripada masalah teknikal sehinggakan pihak media Malaysia tidak dibenarkan membuat liputan serta memaklumkan akan melihat perkara itu supaya ianya tidak berulang.

Menurut beliau, pasukan tertinggi tersebut telah mengadakan pertemuan lebih lapan jam dengan keluarga penumpang di Beijing di mana mereka diajukan pelbagai soalan oleh keluarga-keluarga tersebut.

"Keluarga-keluarga tersebut mengajukan pelbagai soalan, termasuk permintaan terperinci mengenai bacaan radar dan data lain. Ada soalan yang tidak dapat dijawab, dan ada data yang diminta masih dipegang oleh para penyiasat kerana ia merupakan prosedur tetap bagi penyiasatan sebegini," katanya.

Kata Hishammuddin lagi, selepas perjumpaan yang memakan masa kira-kira 12 jam, pasukan itu pulang ke Kuala Lumpur bersama soalan-soalan yang diterima dan akan kembali semula ke Beijing, esok bagi memastikan keluarga tersebut dibekalkan dengan maklumat yang secukupnya.

Malaysia pada Khamis lalu, telah menghantar satu pasukan peringkat tertinggi ke Beijing untuk memberi taklimat serta perkembangan mengenai situasi MH370 kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Kata Hishammuddin Tun Hussein, pasukan itu terdiri daripada wakil-wakil Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS).

Mereka ditugaskan memberi taklimat dan perkembangan kepada keluarga (penumpang dan anak kapal) mengenai situasi terkini, dan juga pelan mencari dan menyelamat.

Sehari sebelum itu pula, terdapat laporan di Beijing oleh AFP, di mana keluarga penumpang MH370 dari China meluahkan kekecewaan mereka apabila masih gagal mendapat jawapan tentang kehilangan pesawat milik MAS itu meskipun misi pencarian telah memasuki hari ke-12.

Menurut keluarga-keluarga itu, mereka tiada cara lain selain meluahkan isi hati mereka dengan rasa marah dan menangis, serta menunjukkan isyarat tangan dengan bengis ke arah wakil MAS.

Kejadian tersebut berlaku ketika sesi pertemuan pegawai penerbangan dengan keluarga tersebut di sebuah hotel di Beijing, China.