Meskipun mengharungi pelbagai peristiwa dan cabaran sepanjang 70 tahun penubuhannya, MIC masih berdiri teguh dalam arena politik tanah air.

MIC yang akan menyambut ulang tahun ke-70 penubuhannya pada Sabtu ini melakar beberapa sejarah dan kejayaan sejak penubuhannya pada 6 Ogos 1946.

Pemimpin parti tertua selepas UMNO itu berikrar akan terus berusaha untuk mengembalikan era kegemilangan MIC sekali gus mendapatkan sokongan dan keyakinan masyarakat India di negara ini agar terus kekal relevan.

Naib Presidennya Datuk T. Mohan memberitahu Bernama bahawa parti itu sudah kembali sedikit demi sedikit mendapat sokongan masyarakat India hasil perubahan kepimpinan tertinggi parti, setelah berdepan dengan kemelut dalaman parti selama dua tahun.

"Masyarakat mula sedar dan kembali kepada MIC. Banyak aktiviti dan pelan telah dilakarkan oleh Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam bagi kaum India.

"Semua anggota kepimpinan parti sedang turun padang dan mendekati masyarakat India melalui pelbagai aktiviti," katanya.

Bekas ketua pemuda MIC itu berkata parti juga sedang berusaha untuk membawa masuk lebih ramai siswazah bagi tujuan memodernisasikan MIC sekali gus melahirkan lebih ramai golongan pemimpin berpelajaran pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau juga meminta masyarakat India supaya tidak melupakan semua penat lelah dan usaha yang dilakukan oleh MIC sejak ia ditubuhkan termasuk mendapatkan kewarganegaraan untuk kaum India di negara ini.

Bagi Naib Presiden MIC Datuk S. A. Vigneswaran pula, beliau berkata pelbagai usaha telah dilakukan parti itu untuk memnbangunkan masyarakat India di negara ini, seperti menubuhkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) yang telah membantu 10,691 pelajar India dengan memberi pinjaman pendidikan bernilai RM127 juta sejak 1984.

Beliau berkata selain itu, MIC juga melahirkan lebih 70,000 graduan menerusi Kolej TAFE yang ditubuhkan pada 1988 bagi tujuan menyediakan pendidikan teknikal dan profesional yang berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.

Mengimbau kembali kewujudan MIC dengan hasil Persidangan Kaum India se-Malaya pada 1946 yang dihadiri wakil pelbagai pertubuhan sosial di dewan Chettiyar, Jalan Ipoh dan seterusnya menyertai pakatan UMNO dan MCA pada tahun 1955, Vigneswaran berkata perjalanan parti yang penuh dengan pelbagai cabaran itu, bukan sesuatu yang mudah.

Yang Dipertua Dewan Negara itu juga menegaskan tiada parti politik lain, selain MIC yang sanggup berjuang secara habis-habisan bagi kaum India di negara ini.

Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy pula berkata parti itu kini lebih agresif dalam membantu golongan wanita dengan tagline 'Maatram' yang membawa maksud perubahan agar wanita India lebih maju dan berubah dari segi pemikiran khususnya.

Katanya, MIC juga telah menubuhkan Biro Profesional Wanita Muda bagi mendapatkan sokongan siswazah wanita muda.

"Dalam 70 tahun ini, MIC telah melahirkan beribu-ribu siswazah, memastikan sekolah Tamil terus kekal, menaik taraf kehidupan wanita India khususnya ibu tunggal di negara ini," jelas beliau.

Mohana yang bersama MIC selama 21 tahun sejak 1995 berkata sayap wanita parti yang mempunyai 140 ketua bahagian dan 5,000 ketua serta timbalan ketua cawangan parti itu sedia bekerjasama dengan sayap wanita dari parti politik lain bagi terus membela nasib wanita India.

MIC akan meraikan ulang tahunnya ke-70 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Sabtu dan pelbagai aktiviti dirancang sepanjang Ogos bagi memeriahkan lagi sambutan berkenaan.