Jentera MIC digesa meningkatkan kekuatan dan sokongan terhadap parti dengan mendekati rakyat bagi membantu Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan parti komponen itu mendapat kemenangan yang lebih besar berbanding PRU yang lepas.

"Saya berharap jentera parti di peringkat akar umbi akan lebih mendekati rakyat, supaya boleh meningkatkan sokongan terhadap parti sekaligus mengukuhkan kedudukan MIC di dalam BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tahunan MIC Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mesyuarat tahunan itu diadakan sempena majlis sambutan ulang tahun penubuhan ke-70 MIC Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pada PRU lepas, MIC memenangi empat kerusi Parlimen iaitu Tapah, Cameron Highlands, Hulu Selangor dan Segamat; dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).