MIC telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membendung budaya 'politik wang' sebelum ia menular dengan lebih buruk dalam parti itu.

Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata struktur lengkap jawatankuasa itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Politik wang dalam parti adalah sesuatu yang harus dibendung kerana ia boleh memusnahkan sesebuah parti di negara ini.

"Politik wang ini termasuk mendapatkan undi dan sokongan ahli akar umbi dengan berbekalkan wang, jawatan dan sebagainya.

"Jawatankuasa ini akan mengenal pasti dalang di sebalik perbuatan tersebut," katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah antara agenda transformasi parti di bawah kepimpinannya bagi menjadikan parti berkenaan lebih cekap dan telus.

Dr Subramaniam turut menegaskan beliau tidak akan teragak-agak menggantung keahlian anggota parti yang masih degil mempraktikan budaya buruk itu.

Sementara itu, beliau juga berpuas hati dengan pemilihan bahagian parti itu yang sedang berlangsung di seluruh negara kerana berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.