JAKARTA: Seorang anggota militan Indonesia yang dikaitkan dengan insiden pengeboman Bali pada tahun 2002 hingga mengakibatkan 202 orang maut, dihukum penjara 15 tahun.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu dijatuhkan oleh hakim di mahkamah Jakarta pada Rabu.

Aris Sumarsono, atau lebih dikenali sebagai Zulkarnaen, merupakan bekas komander kumpulan Jemaah Islamiah, iaitu jaringan militan Asia Tenggara yang mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda.

Dia telah ditangkap pada Disember 2020 selepas bersembunyi daripada pihak berkuasa selama hampir 18 tahun.

Zulkarnaen didakwa atas insiden pengeboman Bali itu, selain beberapa serangan lain yang dilakukan pasukan khas di bawah arahannya.

Letupan itu, yang berlaku selang setahun selepas serangan 11 September di Amerika Syarikat, memusnahkan dua buah pusat bar hiburan yang dipenuhi pelancong antarabangsa. Peristiwa itu kekal kenjadi serangan maut paling besar pernah terjadi dalam sejarah Indonesia.

"Zulkarnaen didapati bersalah melakukan aksi keganasan dan dihukum penjara selama 15 tahun,” tegas hakim di Mahkamah Daerah Jakarta Timur.

Pihak pendakwa raya berkata, Zulkarnaen adalah aset utama Jemaah Islamiah memandangkan pengalamannya sebagai pelatih di kem militan Afghanistan dan Filipina.

Sepanjang pendakwaan itu, Zulkarnaen menafikan penglibatannya dalam kejadian pengeboman Bali, namun mengakui serangan itu dilakukan pasukannya.

Katanya, anggota pasukannya langsung tidak memberitahunya terlebih dahulu tentang serangan itu dan dia tidak terbabit dalam perancangannya.

Hakim bagaimanapun tidak yakin dengan alasannya.