AYER KEROH: Selepas 10 tahun aktif dalam perniagaan pelaburan mata wang asing, impian seorang lelaki yang juga abang kepada pelakon filem Pulau, Ikmal Amry untuk bergelar jutawan terlebur apabila mendakwa keuntungan RM3.7 juta yang sepatutnya diterima telah dimanipulasi.

Mangsa, Mohd Zulhakim Amry Ghazali, 37, berkata, lebih memeritkan apabila usahanya untuk mendapatkan penjelasan daripada ejen syarikat terlibat sejak setahun yang lalu menemui jalan buntu.

Beliau berkata, urus niaga itu bermula apabila dia mula melabur hampir AS$10,000 (RM45,000) pada Mei 2021 sebelum mendapati transaksi dagangan itu berjaya mencapai keuntungan pada AS$800,000.

Namun, dia terkejut apabila usahanya untuk membuat pengeluaran keuntungan berkenaan tidak berjaya.

“Memandangkan pengalaman saya sudah 10 tahun terlibat dalam dunia pelaburan ini, saya memang sudah jangka akan mendapat keuntungan terbesar berjumlah hampir RM3.7 juta.

“Namun apabila saya cuba ‘withdraw’, saya dapati duit keuntungan itu sudah tiada dan lebih mengejutkan rekod transaksi berkenaan juga sudah hilang dan mungkin telah dikeluarkan (wang) lebih awal oleh pihak syarikat,” katanya dalam sidang media, di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Zulhakim berkata, dia aktif membuat pelaburan bersama syarikat yang berpangkalan di Johor itu sejak tahun 2018 lagi dan sebelum ini pihaknya tidak mengalami sebarang masalah.

Malahan, dia juga  pernah menerima pembayaran keuntungan sekitar AS$100 (RM430) sehingga AS$10,000, (RM43,000) serta membuat pengeluaran keuntungan lebih 10 kali.

“Syarikat itu memang tidak ada masalah menguruskan pembayaran keuntungan sebelum ini, namun, apabila dimanipulasi kali ini saya akhirnya terpaksa mengambil langkah undang-undang dan membuat laporan polis di Kluang, Johor selepas mendapat nasihat daripada rakan dan peguam.

“Syarikat itu masih aktif lagi sehingga kini dan saya cuma tidak mahu ada lagi individu lain yang menerima nasib yang sama seperti saya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan.