Minimum RM1,000 Bantuan Khas Kewangan raya kepada penjawat awam Johor

Siti Nur Aqilla Omar
April 10, 2022 03:05 MYT
Azmi berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan negeri bagi meringankan beban kewangan penjawat awam sempena menyambut ketibaan lebaran tahun ini. - Foto ihsan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
JOHOR BAHRU: Seramai 13,400 penjawat awam di Johor akan mendapat Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani berkata, ia melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM18.81 juta.
Katanya, pembayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan dibuat pada Khamis, 28 April ini.
"Kerajaan Negeri Johor akan memberi Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri Johor.
"Pemberian ini telah diputuskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 6 April lalu.
"Pemberian Bantuan Khas Kewangan turut disalurkan kepada kakitangan di bawah Skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP," katanya.
Jelas Azmi, pemberian Bantuan Khas Kewangan ini adalah merupakan keprihatinan kerajaan negeri bagi meringankan beban kewangan penjawat awam negeri sempena menyambut ketibaan lebaran pada tahun ini.
"Semakan kelayakan bayaran Bantuan Khas Kewangan boleh dirujuk melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2022," katanya.
#Hari Raya Aidilfitri #bantuan khas kewangan #Penjawat awam Johor #Azmi Rohani