SEREMBAN: Dua pengarah syarikat termasuk anak bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Muhammad Faisal Hamzah, 39, dan Azizul Abdul Halim, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd sebagai pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak telah memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Maklumat itu diberi semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan mengemukakan dokumen atau maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung dokumen/ invois penjualan minyak masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Perbuatan itu dilakukan pada 12 Ogos 2022, lebih kurang jam 5 petang di Pejabat KPDN Seremban 2.

Justeru itu mereka didakwa di bawah Seksyen 8 ( 4 ) ( b ) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 ( 2 ) akta  sama.

Selain itu, tertuduh selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 metrik tan.

Kesalahan itu dilakukan pada 11 Ogos 2022, jam 11.15 malam di premis perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas , Senawang di Seremban.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Mohd Sophian Zakaria tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah mahu memberikan jaminan, beliau memohon menetapkan satu nilai jaminan tinggi dengan mengambil kira jumlah pertuduhan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 kepada setiap tertuduh dan menetapkan 7 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Qurratu 'Aini Zafirah Mat Shoib.