Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka telah memeriksa sebanyak 1,060 premis perniagaan termasuk pasar raya, peruncit dan 'repacker' berkaitan minyak masak dari 20 Oktover hingga hari ini.

Pengarahnya, Jaiya Abu berkata daripada jumlah itu sebanyak 16 aduan telah diterima berkaitan kehabisan atau kekurangan stok minyak masak terutamanya membabitkan minyak masak botol 5 kilogram.

Katanya, KPDNKK Melaka tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang enggan menjual, atau menyorokkan bekalan minyak masak.

"Pengguna turut dinasihatkan agar berbelanja dengan bijak dan buat perbandingan harga serta memastikan dapat info yang tepat dengan mengetahui kedudukan harga sesuatu barangan sebelum membuat pembelian," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di premis sekitar kawasan Jasin di sini hari ini yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Rim Datuk Ghazale Muhamad.

Ketika ditanya pemberita mengenai isu minyak masak paket yang didakwa rendah kualiti oleh masyarakat, Jaiya menafikannya dan berkata tiada beza dari sudut kualiti di antara minyak masak botol mahupun dalam paket.

"Tiada beza antara minyak masak subsidi paket 1kg dan botol 5kg kerana diperoleh dari tangki dan pengilang sama sebelum dibawa ke premis pembungkus.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDNKK Melaka telah mengambil inisiatif bertindak sebagai pembekal kepada premis yang menjalankan perusahaan kecil-kecilan dalam usaha memastikan kelangsungan bekalan minyak di kawasan terlibat.

"Semalam, kita ada buat dua trip dengan menghantar sebanyak 57 katon di mana 1 katon mengandungi 17 paket di sekitar daerah ini.

"Berdasarkan rekod pemantauan yang dilihat kawasan ini (menunjukkan) bekalan sedikit terhad, jadi kita bantu mereka," katanya.

Sementara itu, Ghazale menyarankan kepada rakyat terutamanya penduduk di Melaka agar berbelanja secara berhemah mengikut kemampuan bagi mengatasi masalah berkaitan kenaikan harga minyak yang berlaku baru-baru ini.

-- BERNAMA