SHAH ALAM: Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menubuhkan empat jawatankuasa untuk memperkasakan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini khususnya bagi menyeragam dan menggalak persamaan dalam bidang perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam, pendidikan Islam dan penyelarasan fatwa.

Empat jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan; Jawatankuasa Muzakarah MKI; Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan yang akan diurussetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, penubuhan empat jawatankuasa itu dibuat untuk memperkukuh MKI susulan keputusan Majlis Raja-Raja yang memperkenankan Peraturan-Peraturan baharu MKI bagi menggantikan Peraturan MKI yang diguna pakai sejak 1968.

Beliau berkata, pada 10 Mac lepas, Majlis Raja-Raja telah berkenan agar MKI distruktur semula bagi memperkukuh fungsinya selaras dengan cabaran zaman dan keperluan tadbir urus semasa.

"Peraturan MKI yang baharu ini telah memperuntukkan kuasa MKI bagi menubuhkan apa-apa jawatankuasa dengan perkenan Majlis Raja-Raja untuk menguruskan perkara-perkara yang berhubungan dengan fungsi MKI," katanya ketika berucap pada majlis pengurniaan watikah pelantikan dan penghargaan ahli dilantik jawatankuasa bawah MKI di sini hari ini.

Hakimah yang juga Setiausaha MKI berkata, majlis itu dan agensi Islam yang berperanan besar dalam urus tadbir negara yakin bahawa jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuh di bawah MKI dapat bergerak dengan progresif pada masa hadapan.

Katanya, majlis itu juga diadakan bagi menzahirkan penghargaan kepada ahli dilantik sebelum ini yang tamat pelantikannya seiring dengan penstrukturan semula MKI.

Watikah pelantikan dan penghargaan itu disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi MKI. - BERNAMA