KUALA LUMPUR: Sabah kini mempunyai hak mutlak terhadap pentadbiran Sipadan dan Pulau Ligitan, manakala Sarawak akan diberikan kawalan penuh terhadap pengurusan sumber gas negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili, berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada Selasa.

Katanya, mesyuarat secara maya selama dua jam itu turut disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Semalam, dua keputusan penting telah dibuat. Satu adalah penyerahan secara formal pentadbiran Sipadan dan Kepulauan Ligitan kepada kerajaan Sabah, yang membawa maksud pentadbiran serta kuasa penuh ke atas dua kawasan tersebut.

"Menurut Perdana Menteri, Sabah mempunyai hak berdaulat kepada dua kawasan berkenaan yang diletakkan di bawah pengawasan Taman-taman Sabah dan di bawah perlindungan Akta Kawasan Perlindungan dan Tempat Terlindung 1959.

"Kata beliau (Perdana Menteri), Sabah mempunyai hak berdaulat terhadap Sipadan dan Ligitan dan diletakkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Status wilayah: Takrifan khas dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda - Abdul Karim
BACA: Biar pakar tentukan takrifan wilayah - Abang Jo

Bagaimanapun, jelas Maximus, keputusan penyerahan kuasa pentadbiran yang dibuat ini tertakluk kepada kawalan keselamatan yang masih di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan.

"Perkara kedua adalah penyerahan kawalan dan pengurusan gas di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 kepada Sarawak yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun depan," tambah beliau yang mengetuai sekretariat MKMA63.

Ujarnya, perkara-perkara berkenaan berjaya diselesaikan hanya dalam tempoh empat bulan sejak mesyuarat MKMA63 pada Disember tahun lepas.

Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) akan dipertanggungjawabkan untuk urusan penyerahan ini, katanya.

Sementara itu, katanya mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan definisi wilayah membabitkan Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2).

"Kertas kerja tersebut dibentangkan Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Mesyuarat berkenaan memutuskan bahawa pasukan perundangan yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bersama Peguam Besar Sabah dan Sarawak akan mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi meleraikan isu tertunggak," katanya.

Isu terma wilayah bagi menggantikan negeri bagi Sabah dan Sarawak hangat diperkatakan sejak minggu lepas, susulan ucapan Perdana Menteri dalam lawatannya ke Kuching pada 2 April lepas yang menggunakan terma berkenaan bagi merujuk Sarawak.