IPOH: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak membuat sebarang komen mengenai keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Datuk Seri Najib Razak pada mesyuarat MKT baru-baru ini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, MKT hanya menzahirkan rasa simpati terhadap Najib selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, Mesyuarat MKT juga tidak membuat sebarang keputusan untuk mengarahkan Najib 'berehat' daripada aktiviti politik kerana tiada keperluan berbuat demikian.

"Mesyuarat MKT baru-baru ini hanya menyatakan simpati, tetapi kita tidak dapat hendak komen pasal keputusan hakim kerana itu membabitkan mahkamah, tetapi sudah tentu kita (MKT) bersimpati dengan nasib dia.

"Tiada sebarang keperluan untuk mendesak Najib untuk berehat daripada sebarang aktiviti UMNO. Dalam Perlembagaan UMNO hanya menyebutkan jika seseorang pemimpin itu didapati bersalah dan sudah dijatuhkan hukuman mati, kalau dia pegang jawatan dia kena lepaskan, itu sahaja.

"Tetapi Datuk Seri Najib tidak ada jawatan, dia bukan ada jawatan dalam parti, bukan Presiden atau Timbalan Presiden, jadi tidak ada apa-apa arahan (berehat dari aktiviti UMNO)," katanya yang juga ahli MKT UMNO.


SRC International | Sabitan bersalah Najib Razak kekal

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata demikian ketika hadir ke Majlis Perasmian Ipoh International Art Festival (IIAF) 2021: Budi Pemanjangan Tradisi di PORT, Ipoh, pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.


Kes SRC | Saya kecewa dikatakan 'memalukan negara' - Najib